Home Seni Hidup Mawi, kenapa perlu menipu pesakit-pesakit kronik saya? – Dr Rafidah

Mawi, kenapa perlu menipu pesakit-pesakit kronik saya? – Dr Rafidah

Dr Rafidah Abdullah (kiri).

KUALA LUMPUR – Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah menegur penyanyi dan pelakon Mawi yang mempromosikan sebuah iklan produk minuman kesihatan yang membantu mengurangkan masalah buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan kolesterol.

Beliau membidas penjelasan yang dibuat Mawi dan meminta agar semua selebriti perlu memahami panduan dalam pengiklanan produk kesihatan terlebih dahulu.

“Salam Mawi, kenapa perlu menipu pesakit-pesakit kronik saya?.

“Perbuatan ini sudah salah dari segi Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956,” katanya dalam satu ciapan di Twitter miliknya.

Sebelum ini, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani telah muncul dalam sebuah video berkongsi kelebihan sebuah jenama jus minuman yang boleh merawat penyakit buah pinggang dan masalah kronik lain.

Mawi juga menceritakan pengalaman keluarganya sendiri yang juga merupakan pengamal jus minuman tersebut dan berjaya kembali sihat dari pelbagai penyakit dalaman.

Bagaimanapun, Dr. Rafidah kekal membidas penjelasan yang dibuat penyanyi berkenaan dan meminta agar semua selebriti perlu memahami panduan dalam pengiklanan produk kesihatan terlebih dahulu.

“Tak payah nak cerita tentang kenyataan yang menipu dan menunggang agama.

“Adakah semua artis atau selebriti tidak beretika? kan ada panduan untuk selebriti yang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) keluarkan, sila baca betul-betul, cukup-cukup menipu orang-orang tua,” tegasnya. – MalaysiaGazette