ALOR GAJAH – Selepas lebih 10 jam bertarung nyawa, akhirnya seorang pekerja kilang maut ketika menerima rawatan di Hospital Melaka pagi ini.
Mangsa dirawat selepas motosikal yang ditunggangi terbabas sebelum melanggar tembok batu longkang di Jalan Taman Jati, Simpang Ampat di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa, Muhammad Ruzaini Rahmat, 24, disahkan meninggal dunia jam 9.45 pagi tadi selepas mengalami pendarahan dalam perut akibat nahas pada jam 11.10 malam itu.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX datang dari arah Brisu, Lubuk Cina ke Pekan Simpang Ampat.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa terbabas lalu melanggar tembok batu longkang di bahu kiri jalan.
“Akibatnya, pekerja kilang itu terjatuh di dalam longkang, manakala motosikalnya tercampak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau meminta saksi untuk tampil memberi keterangan kepada pihak polis.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik untuk proses bedah siasat, katanya sambil menambah kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette