SUBANG – Seorang lelaki terkejut apabila plastik yang disangkanya gumpalan sampah adalah seorang bayi yang ditinggalkan di belakang rumah teres di Taman Puchong Indah Puchong, dekat sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya menerima aduan daripada lelaki itu pada jam 9.24 malam tadi berhubung penemuan seorang bayi yang masih hidup yang dibalut dengan menggunakan plastik hitam.
“Hasil siasatan pegawai kita yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati bayi itu berada dalam keadaan berlumuran darah dan dijumpai bersama uri bertali pusat serta disyaki dilahirkan kurang daripada 24 jam lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Fairus, pengadu terdengar tangisan bayi yang datang dari tempat gelap dan bersemak sebelum pengadu bergegas ke arah tangisan itu sebelum menemui bayi tersebut.
Tambah beliau, bayi itu dihantar ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan oleh doktor kecemasan di hospital mendapati bayi seberat 2.185 kilogram dan dilahirkan normal tanpa sebarang masalah kesihatan.
“Tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada tubuh badan bayi berkenaan dan anggaran tempoh bayi itu dilahirkan adalah antara 38 hingga 40 minggu,” ujarnya.
Mohd Fairus berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menyembunyikan bayi dengan niat membuang bayi tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya dengan menghubungi talian 03-56210343 atau pegawai penyiasatnya Inspektor Nor Adilah Rosli di talian 016-6873616. – MalaysiaGazette