KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan sebuah pasukan bertindak (taskforce) bebas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) bulan lalu.
Pasukan berkenaan juga akan menyiasat dakwaan berlakunya budaya buli terhadap doktor pelatih yang berlaku di dalam hospital, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Khairy dalam Twitternya turut memaklumkan telah menerima laporan awal mengenai kes terbabit.
“Saya telah menerima laporan awal mengenai kematian seorang doktor pelatih dari Ketua Jabatan mendiang di Pulau Pinang. Pihak polis juga sedang lengkapkan siasatan.
“@KKMPutrajaya akan menubuhkan sebuah ‘taskforce’ bebas untuk siasat kes ini dan juga budaya ‘buli’ yang didakwa berlaku,” kata Khairy.
Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai perubatan siswazah yang baharu ditempatkan di HPP dilaporkan terjatuh dari tingkat 23 sebuah apartmen yang disewanya di Jalan Datuk Keramat, George Town.
Kejadian berkenaan berlaku pada 17 April lalu. Mangsa ditempatkan di hospital terbabit pada 4 April.
Polis sudah merakam keterangan daripada doktor serta rakan serumah seorang doktor pelatih berkenaan bagi menyiasat kejadian tersebut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, siasatan termasuk berhubung punca kematian Pegawai Perubatan Siswazah berusia 25 tahun dari institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Berdasarkan hasil siasatan awal, beliau berkata, doktor pelatih itu dilaporkan maut selepas dipercayai terjun dari tingkap bilik rumah sewanya.
Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Maarof Sudin, mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lalu di HPP.
Selasa lalu, media melaporkan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, mengesahkan seorang doktor pelatih HPP ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Bagaimanapun, beliau berkata, polis tidak menolak akan mengklasifikasikan semula kes itu sekiranya menemui bukti baharu.- MalaysiaGazette