Home Nasional Pelbagai agensi perlu anggotai jawatankuasa kes kematian doktor pelatih

Pelbagai agensi perlu anggotai jawatankuasa kes kematian doktor pelatih

Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Panel siasatan kes kematian seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) perlu dianggota pelbagai agensi termasuk pakar undang-undang serta ahli politik.

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, ia bagi memastikan hasil siasatan kes itu diketahui umum, sekali gus mengelak kejadian yang sama berulang pada masa depan.

Jelas beliau, sekiranya jawatankuasa itu diketuai agensi tertentu pihaknya bimbang perkara penting yang sepatutnya distruktur semula tidak dilakukan dengan alasan menjaga nama baik agensi terbabit.

“Seperti semua sedia maklum Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan pihaknya akan menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menyiasat kes kematian doktor pelatih itu.

“Jadi kita gesa beliau (Khairy) benarkan agensi lain seperti pakar undang-undang serta ahli politik anggotai juga jawatankuasa tersebut bagi mendapatkan satu keputusan yang baik.

“Sekiranya perlu rombak sistem tugasan pegawai perubatan negara KKM perlu terimanya dengan hati terbuka kerana ia bukan untuk menunjukkan kelemahan mereka tetapi demi masa depan doktor muda di negara ini,” katanya kepada pemberita ketika  ditemui di Pasar Awam Bayan Baru, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang dilaporkan maut terjatuh dari bangunan rumah sewanya pada 17 April lepas.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitter berkata, beliau telah menerima laporan awal mengenai kematian doktor pelatih itu daripada Ketua Jabatan mendiang.

“Pihak polis juga sedang lengkapkan siasatan @KKMPutrajaya akan menubuhkan sebuah ‘task force’ bebas untuk siasat kes ini & juga budaya ‘buli’ yang didakwa berlaku,” menurut Khairy. 

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt V.Saravanan ketika dihubungi MalaysiaGazette memberitahu, pihaknya belum merakamkan keterangan ahli keluarga mendiang.

“Siasatan berhubung kematian doktor pelatih itu masih dijalankan dan kita akan rakam keterangan ahli keluarganya minggu depan,” kata beliau. – MalaysiaGazette