Home Nasional Rasuah kuota beras: Pembantu penguatkuasa direman enam hari

Rasuah kuota beras: Pembantu penguatkuasa direman enam hari

SPRM

PUTRAJAYA – Seorang pembantu penguat kuasa sebuah kementerian, direman selama enam hari bermula hari ini, berkaitan siasatan kes rasuah kuota beras bersubsidi.

Lelaki berumur 57 tahun itu ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9.20 malam tadi, selepas beliau dibawa ke ibu pejabat SPRM itu dari pejabatnya kira-kira 10 pagi, untuk soal siasat.

Menurut sumber SPRM, wang berjumlah RM10,113 ditemui di peti besi di pejabatnya dan wang tunai RM51,100 turut ditemui di bonet kereta penjawat awam itu ketika pemeriksaan dijalankan.

Menurut sumber itu, suspek dipercayai menerima rasuah sebanyak RM468,000 secara berperingkat daripada sebuah syarikat pemborong beras untuk mendapatkan kuota beras bersubsidi Super Tempatan 15 (ST15) peratus hancur.

Menurut sumber itu, penahanan itu adalah susulan penahanan seorang ketua setiausaha sebuah kementerian, sebelum ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini. – BERNAMA