Home Nasional Belia Malaysia dinasihat berhati-hati dengan tawaran pekerjaan di luar negara

Belia Malaysia dinasihat berhati-hati dengan tawaran pekerjaan di luar negara

Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia terutamanya golongan belia perlu berhati-hati dengan tawaran kerja di luar negara agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan pekerjaan, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata ada beberapa kes di negara jiran Kemboja baru-baru ini rakyat Malaysia diperdaya dengan tawaran pekerjaan palsu.

“Rakyat Malaysia perlu berhati-hati dengan tawaran pekerjaan yang dibuat dengan cara pelbagai, ada yang Whatsapp terus ke nombor telefon pencari kerja. Kalau boleh rakyat Malaysia periksa betul-betul (kesahihan) tawaran kerja,” katanya pada sidang media di Wisma Putra hari ini.

Saifuddin berkata perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia memberikan nasihat mengenai perkara itu serta membantu warga Malaysia yang berada dalam kesukaran.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang memerlukan maklumat berhubung kesahihan syarikat terlibat boleh mendapatkan bantuan Kedutaan Malaysia di negara masing-masing atau perkhidmatan konsular kementerian.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan 16 rakyat Malaysia yang mendakwa menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja telah selamat tiba di Malaysia dari Phnom Penh bulan lepas .

Beliau berkata masih ada lebih 20 lagi mangsa ditahan di Phnom Penh dan menunggu untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata beberapa negara telah menzahirkan kesediaan menerima lebih ramai pelarian Rohingya di Malaysia untuk proses penempatan semula di negara masing-masing.

Beliau berkata proses penempatan semula pelarian ke negara ketiga terjejas sejak dua tahun lepas berikutan pandemik COVID-19.

“Ada indikasi ada negara setuju lipatgandakan penerimaan jumlah pelarian Rohingya (yang sekarang berada di Malaysia),” katanya apabila diminta mengulas mengenai isu pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Kedah, bulan lepas.

Safuddin berkata beliau juga telah bertemu pengarah UNHCR di Kuala Lumpur bagi membincangkan proses penempatan semula Rohingya.

Setakat Mac tahun ini, UNHCR menganggarkan terdapat kira-kira 103,810 Rohingya berada di Malaysia.

— BERNAMA

 

2 Komen

  1. Pelik bin ajaib hanya ada rakyat Malaysian je kemaruk kerja gaji tinggi di Kemboja tetapi tiada rakyat negara lain makan umpan sindikit Kemboja.Begitu juga ada negara-negara ketiga nak ambil pelarian Myanmar di Malaysia tetapi tak sebut pun lebih utama ambil pelarian Myanmar’s di Mynmar lebih lagi di Kem teebesar pelarian Myanmar di Cox Bazaar. Sebut nak ambil Rohingya je tanpa sebut pelarian Kachin, Shan, dan Karen pun pelarian Myanmar di Malaysia juga, kan?

  2. ramai raayat malaysia yang merempat memetek buah dan di ladang sayor, kebanyakkan illegal overstay, apa yang kerajaan malaysia boleh buat untok menolong mereka?

Comments are closed.