GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menjalankan siasatan terperinci berhubung satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki memandu sebuah kenderaan dan diiringi oleh dua anggota polis trafik menggunakan motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Bukit Gambir, dekat sini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya juga telah membuka satu kertas siasatan tatatertib ke atas dua anggota polis negeri itu susulan video yang tular di media sosial sejak semalam.
“Pada Sabtu (semalam) kira-kira pukul 8.36 malam terkesan satu rakaman video yang tular berdurasi 20 saat, dimuat naik oleh pemilik akaun anwarazeez dan rakaman tersebut memaparkan seorang lelaki (orang awam) memandu sebuah kenderaan dan diiringi dua anggota polis trafik menggunakan motosikal milik PDRM.
Menerusi klip video itu yang dimuat naik di laman sosial Facebook, kelihatan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen.
Paparan video berkenaan mendapat kecaman warganet yang tidak berpuas hati dengan individu tersebut yang menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette