BENTONG – Unit Bermotosikal Trafik sudah bersiap sedia menyuraikan aliran trafik di Plaza Tol Bentong yang dijangka sesak hari terakhir cuti Aidilfitri, kata Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh.
Ia berikutan pertambahan kenderaan di Karak, Plaza Tol Bentong, Bukit Tinggi menghala ke Kuala Lumpur.
Tinjauan MalaysiaGazette bersama Pasukan Gerakan Udara Pangkalan Semenanjung bermula jam 11.30 pagi tadi mendapati aliran trafik dari Plaza Tol Kuantan menuju ke Gambang bertali arus namun lancar.
Keadaan lalu lintas juga terkawal dari Gambang menuju ke Maran, Temerloh, Lanchang sejak awal pagi sehingga 2 petang tadi.
“Bagaimanapun Hentian Rehat dan Rawat Di Gambang, Temerloh Dan Karak dilaporkan sesak berikutan pengguna jalan Raya mengambil masa berehat semasa perjalanan.
“Tiada insiden kemalangan dimaklumkan setakat ini di jalan persekutuan mahu pun di jalan negeri pada hari ini,” katanya ketika membuat tinjauan dari udara.
Tinjauan di jalan lama di sekitar Lipis, Raub, Bentong juga mendapati keadaan masih terkawal.
Namun, kesesakan dijangka berlaku di laluan mendaki ke Bentong dari lapan lorong di tol Bentong.
Kamarulzaman mengingatkan orang ramai agar bersabar dengan keadaan lalu lintas dan tidak terburu-buru ketika memandu.
Tambahnya, Ops Selamat 18 kali ini menyaksikan sejumlah 782 kemalangan dilaporkan berlaku sehingga 6 Mei lalu.
Ia merupakan menunjukkan penurunan 3.3 peratus atau 27 kes kemalangan berbanding tempoh yang sama pada Ops Selamat 15 tahun lalu, yang mana sebanyak 809 kes kemalangan dilaporkan.- MalaysiaGazette
Video Berkaitan