Home Seni Hidup Pantau lalu lintas dari udara, PGU lapor maklumat pantas

Pantau lalu lintas dari udara, PGU lapor maklumat pantas

Barisan petugas yang meninjau keadaan serta perkembangan lalulintas menaiki Helikopter Helikopter Agusta Westland 139 milik PDRM.

BENTONG – Memantau lalu lintas dari udara merupakan rutin yang dijalankan oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU), Polis Diraja Malaysia di  Pangkalan Semenanjung setiap kali sambutan perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Terbang tangkas dari utara menuju ke timur dan selatan bersama dua juruterbang dan dua pemantau udara, tugas ini digalas dengan penuh tanggungjawab.

Menaiki Helikopter Agusta Westland 139, MalaysiaGazette berpeluang menyaksikan operasi ini bersama Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri Pahang, Superintendan Kamaurulzaman Jusoh yang menyertai PGU pada hari akhir Op Selamat 18 sempena Aidilfitri.

Peninjau udara Op Selamat 18 yang melihat keadaan lalu lintas dari udara.

Pemantauan lalu lintas dari udara ini digalas empat anggota polis yang menyarung sut penerbangan jingga ini.

Memulakan penerbangan pada jam 11.30 pagi hari ini, kami diberi taklimat keselamatan oleh Lans Koperal Pehventhar Y. Roa dan menantangani surat akuan sebelum terbang.

Sarjan Jagjeet Kaur Kakar Singh selaku pemerhati udara membuat tinjauan keadaan lalu lintas di Lebuhraya Pantai Timur dalam Op Selamat 18 hari iniDetik perjalanan dimulakan setelah menyarung tali pinggang keselamatan, melekapkan ‘Headfone David Clarke’ pada telinga untuk  mendengar arahan dan pintu helikopter ditutup kemas oleh Sarjan Jagjeet Kaur Kakar Singh selaku pemerhati udara.

Walaupun gah di awan biru, tetapi tanggungjawab yang digalas ini tidak kurang beratnya kerana tugasan ini membantu anggota polis di darat.

Berada dari 800 hingga 1,500 kaki dari udara, Helikopter Agusta Westland 139 yang dipandu oleh Superintendan Faizul Muhammad dan Superintendan Jefri Jaafar memulakan penerbangan tinjauan aliran trafik di laman Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am Galing Kem

Agusta Westland 139 meninjau Plaza Tol Kuantan menghala ke Gambang dan Maran yang kelihatan lancar dari udara.

 

Kenderaan bertali arus di sekitar Lebuhraya Pantai Timur namun aliran trafik kelihatan terkawal dan lancar.

Jelas Faizul, skop penerbangan merupakan elmen penting kerana ia melaporkan situasi dan gambaran lalu lintas dari atas yang skopnya lebih besar dari setiap sudut.

Laporan ini penting untuk memberi gambaran sebenar dan tepat kepada pasukan di lapangan untuk membuat tindakan susulan.

Dua juruterbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM terlibat dalam tinjauan aliran trafik di laman kadad Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am Galing Kem, hari ini

Berkongsikan pengalaman, Faizul berkata, selain memantau pergerakan lalu lintas, pesalah trafik seperti memandu di lorong kecemasan dan melulu boleh dilihat dengan jelas dari udara.

“Apabila kejadian seumpama ini berlaku, kami akan terus melaporkan kepada petugas di lapangan di darat untuk tindakan susulan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan