KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa kawasan di lebuh raya utama terutama yang menuju ke Lembah Klang tinggi setakat 10 malam ini.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, dari utara, antara yang terlibat ialah Pendang menuju kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Gurun di Kedah sepanjang 21 kilometer dan Sungai Petani ke Bertam di Pulau Pinang sejauh 18.3 kilometer.
“Menuju ke utara pula, aliran trafik tinggi dari RNR Gurun ke Pendang sejauh 22 kilometer, Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang ke Sungai Petani, Kedah (12.4 kilometer) dan dari Kuala Kangsar, Perak ke Bukit Berapit, Pulau Pinang (empat kilometer),” katanya kepada Bernama malam ini.
Laluan dari selatan pula menyaksikan aliran trafik perlahan akibat kemalangan di Kilometer 253 arah utara dari Pedas Linggi ke Senawang.
Aliran trafik juga tinggi ke arah selatan dari Hentian Kulai menuju susur keluar Kulai sepanjang 8.9 kilometer.