KITA sebagai hamba Allah di atas muka bumi wajib percaya dan mentaati segala ketentuan yang telah ditetapkan. Segala yang terjadi dalam dunia adalah aturan daripada Allah. Secara umumnya peraturan Allah terbahagi kepada dua iaitu syaria’atullah dan sunnatullah. Memetik definisi syari’atullah dan sunnatullah yang diberikan oleh Ustaz Hasrizal dalam bukunya yang bertajuk “Seni Berfikir Yang Hilang”. Syari’atullah ialah peraturan yang diajar kepada kita melalui wahyu daripada Allah (revealed knowledge). Syaria’atullah berkait dengan hukum wajib, sunat, makruh, haram dan harus. Manakala sunnatullah bermaksud peraturan Allah SWT yang tidak kita temukan melalui jalan wahyu, tetapi Allah SWT menjelaskan melalui penciptaan alam. Apabila dianalisa, kita akan dapati alam tersebut mematuhi peraturan yang tetap. Ia dinamakan required knowledge.
Allah berfirman dalam surah Al-Syura: 20 yang bermaksud: ”Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak”.
Daripada ayat ini jelas menunjukkan bahawa, Allah akan memberi kita faedah berdasarkan daripada apa yang kita usahakan. Kita sebagai hamba Allah sentiasa mengharapkan bahawa memperolehi faedah di dunia dan akhirat. Oleh yang demikian itu, memahami dan melaksanakan syari’atullah dan sunnatullah adalah penting bagi umat islam yang menginginkan kejayaan di dunia dan di akhirat. Sebagai contoh, dua orang pelajar, Ahmad dan Lim akan menghadapi peperiksaan akhir semester. Ahmad seorang Muslim yang sangat menjaga ibadahnya. Manakala Lim pula bukan seorang Muslim dan tidak percaya kepada kewujudan tuhan. Lim juga seorang yang suka berfoya-foya dan banyak melakukan perkara yang sia-sia. Dalam persediaan menghadapi peperiksaan, Ahmad meningkatkan lagi amal ibadah sehariannya tanpa melakukan sebarang ulangkaji. Setiap malam Ahmad bangun untuk berqiamualail dan bermunajat kepada Allah dengan harapan mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Manakala, Lim mengulangkaji pelajaran dengan bersunguh-sungguh dan meninggalkan seketika sikapnya yang suka berfoya-foya. Apabila keputusan peperikasaan keluar, pencapaian Lim sangat cemerlang berbanding dengan Ahmad hanya sekadar cukup makan sahaja.
Maka dalam hal ini, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan syari’atullah dan sunnatullah? Memetik cuplikan daripada buku Ustaz Hasrizal “rule of the game” itu mudah sahaja, iaitu universal rule yang terpakai dalam semua keadaan. Pergi kelas, belajar, tak faham tanya, buat kerja sekolah, buat latihan strategi pembelajaran dan sebagainya, itu adalah sunnatullah. Sebab dan akibat dalam hal tersebut. Syari’atullah adalah doa, solat hajat, restu ibu bapa dan sebagainya. Lim berjaya kerana Lim mengikut sunnatullah untuk berjaya dalam peperiksaan. Alangkah baiknya jikalau Ahmad mengulangkaji pelajaran (sunnatullah) dan dalam masa yang bangun malam bermunajat pada Allah (syari’atullah) untuk dipermudahkan dirinya dalam menjawab peperiksaan. Dari segi kuantitatifnya, Ahmad mungkin sama dengan apa yang diusahakan oleh Lim, tapi daripada kualitatifnya sudah pasti berbeza antara Ahmad dan Lim.
Seorang kaunselor amatlah ditegah untuk memberi nasihat dan harapan palsu kepada klien. Sebagai contoh, klien datang berkongsi tentang musibah yang dilaluinya. Seorang kaunselor tidak boleh mengatakan secara terus kepada klien “bersabarlah, pasti ada hikmah disebalik kejadian ini, berdoa banyak-banyak ya”. Ungkapan ini zahirnya nampak betul, tapi hakikatnya salah sama sekali. Klien datang berjumpa kaunselor kerana dirinya tidak dapat mencari di mana hikmahnya, maka klien mengambil keputusan untuk berjumpa kaunselor agar kaunselor dapat membantu dirinya mencari hikmah tersebut. Tindakan klien itu tepat berjumpa dengan kaunselor (sunnatullah) kerana apabila ada masalah jumpa ahli dalambidang, tetapi tindakan kaunselor salah kerana terus meminta klien bersabar dan berdoa (syari’atullah) tanpa berusaha terlebih dahulu (sunnatullah).
Meminta klien untuk menunggu hikmah tiba dalam dirinya adalah satu musibah yang besar. Apabila kenyataan tersebut diungkap seolah-olah profesion kaunselor tidak diperlukan lagi kerana semua orang tanpa mengira latar belakang boleh mengatakan sedemikian kepada orang yang sedang ditimpa musibah. Meminta orang bersabar dalam keadaan yang dia tidak boleh sabar, tidak akan membantu untuk dia bersabar, malah akan menjadikannya jadi lagi hilang sabar. Langkah yang terbaik adalah dengan mendengar dan memahami apa yang dia sedang lalui.
Tugas utama kaunselor bukan memberi nasihat, tetapi adalah untuk membantu klien mendapatkan celik akal (insight) dan membantu klien memahami hikmah disebalik perkara yang berlaku. Walaupun dalam beberapa keadaan, klien akan meminta kaunselor memberi nasihat kepadanya, perkara ini tetap tidak boleh dilakukan. Mengapa nasihat tidak boleh diberi ketika dalam sesi kaunseling? Ini adalah disebabkan sudut pandang dan nilai kaunselor adalah berbeza dengan klien. Cara seseorang melihat dan menilai sesuatu perkara yang berlaku adalah berbeza. Kaunselor bukan orang yang arif tentang khidupan orang lain (klien), yang arif tentang kehidupan klien adalah klien sendiri. Kaunselor hanya bertindak sebagai individu untuk membantu kaunselor mencapahkan sudut pandang klien terhadap sesuatu isu dan mencelikan titik buta yang ada dalam diri klien.
Isu kesihatan mental semakin meningkat saban hari dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sehubungan dengan itu, masyarakat perlu perlu tahu untuk mendapatkan pertolongan awal sebelum isu kesihatan mental menjadi semakin parah. Kaunselor adalah benteng paling awal untuk masyarakat mendapat khidmat bantuan dan sokongan psikologi. Kaunselor akan membantu klien untuk bertindak dan menukarkan pemikiran yang tidak rasional kepada pemikiran rasional, tingkah laku yang tidak berkesan kepada tingkah laku yang berkesan dan kepada emosi yang terganggu kepada emosi yang lebih stabil. Masyarakat tidak perlu gusar untuk berjumpa dengan kaunselor kerana kaunselor terikat dengan etika kerahsiaan dan kaunselor di Malaysia perlu berdaftar dengan Lembaga Kaunselor (Malaysia) yang telah digariskan oleh Akta Kaunselor 1998. Sekiranya berlaku perlanggaran etika dan undang-undang daripada kaunselor, klien boleh melaporkan kepada Lembaga Kaunselor (Malaysia) untuk tindak selanjutnya.
Kaunselor adalah satu profesion yang mulia dan bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW ang bermaksud “sebaik-baik manusia, adalah manusia yang memberi manfaat pada orang lain”. Sehubungan dengan itu, dalam kita membantu orang lain, pastikan bantuan yang diberikan itu menepati peraturan Allah iaitu syari’atullah dan sunnatullah. Untuk berjaya kena sentiasa berusaha dan jangan putus berdoa.
Oleh: Mohd Fahrizal Asmy Mohd Ali
Pensyarah, Program Kaunseling
Jabatan Sains Kemanusiaan
Fakulti Pengajian Islam dan Kemanusiaan
Universiti Sultan Azlan Shah