GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkaitan memandang serius isu pencemaran di Sungai Ngulang di Perlis yang menyaksikan airnya bertukar hitam serta menyebabkan ratusan ikan mati.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, ia kerana pencemaran air sungai itu pernah dilaporkan sebelum ini namun masalah sama masih berulang.
Jelas beliau, pihaknya bimbang kegagalan menyelesaikan isu pencemaran sungai itu akan menjejaskan pembiakan pelbagai jenis ikan di dalamnya termasuk aktiviti persawahan oleh petani.
“Kita kesal dengan apa yang berlaku di Sungai Ngulang kerana ia bukan kejadian pertama. Malah, air yang tercemar sebelum ini telah diambil untuk diuji namun masalah ini masih juga berulang.
“Sepatutnya pihak berkaitan perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mencemarkan sungai tersebut berdasarkan hasil ujian air tercemar sebelum ini.
“Sehubungan itu, kita gesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis mengambil tindakan tegas ke atas kilang yang dikesan mencemarkan air Sungai Ngulang hingga menyebabkan ratusan ikan di dalam sungai itu mati,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Mohideen, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) juga perlu menjalankan siasatan secara menyeluruh berkaitan punca pencemaran tersebut.
“Kita mahu hasil siasatan didedahkan kepada umum termasuk tindakan undang-undang yang diambil ke atas pihak yang menyebabkan pencemaran ini berlaku.
“Ini bukan saja sebagai pengajaran terhadap pelaku malah demi memastikan kejadian yang sama tidak berulang lagi,” tegas beliau.
Media tempatan sebelum ini melaporkan penduduk tempatan mendakwa pencemaran itu berpunca dari pelepasan sisa loji pengolahan efluen dari kilang di Bukit Keteri yang jaraknya sekitar lima kilometer dari sungai berkenaan.
Seorang penduduk, Mohd Azrif Md Amin, 29, berkata, sejak awal pagi kelihatan ikan mati terapung dan keadaan bertambah buruk selepas itu di mana air sungai ini berubah menjadi hitam.
“Sungai Ngulang bukan saja menjadi tempat orang ramai memancing berbagai jenis ikan air tawar tetapi juga untuk mandi-manda dan mengairi sawah di negeri itu,” katanya. – MalaysiaGazette