Home Politik Dakwaan Sulaiman dipaksa tanda tangan surat letak jawatan tak perlu diperbesarkan

Dakwaan Sulaiman dipaksa tanda tangan surat letak jawatan tak perlu diperbesarkan

Datuk Abdul Razak Abdul Rahman. Foto SYAFIQ AMBAK, 19 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Dakwaan Datuk Seri Sulaiman Md Ali dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka perlu diselesaikan secara rundingan dan tidak perlu diperbesarkan sekiranya ia benar berlaku.

Ketua Penerangan UMNO Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, selama puluhan tahun, UMNO telah dilanda dengan pelbagai isu namun parti itu harus terus kuat dalam menyelesaikan setiap permasalahan dihadapi.

“Merujuk kepada desas-desus yang mendakwa YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang kononnya dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan, saya ingin menegaskan bahawa pelantikan serta kedudukan beliau tertakluk kepada janji Pilihan Raya Negeri (PRN) November tahun lalu.

“Jika benar pun paksaan itu wujud, yang setakat ini, saya pun tidak tahu, semua pihak dinasihatkan supaya menyelesaikannya secara perundingan dalaman dan tidak perlu diperbesar-besarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka berkata, sebagai wadah politik yang berpengalaman di negara ini, setiap keputusan yang dibuat parti di mana-mana peringkat adalah selari dengan pucuk pimpinan parti.

“Saya sendiri akan tetap fokus kepada janji-janji PRN lalu seperti mana yang terkandung dalam Manifesto Barisan Nasional (BN).

“Sebagai Exco, saya akan berusaha sedaya-upaya saya untuk melunaskan janji-janji tersebut bersama rakan-rakan Exco yang lain,” katanya.

Tambahnya, adalah menjadi keutamaan UMNO dan BN memastikan agar kesejahteraan rakyat Melaka secara keseluruhannya sentiasa terbela.

Semalam, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad menyifatkan khabar angin itu adalah fitnah dan tidak berasas.

Menurutnya, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu akan terus memegang jawatan sebagai Ketua Menteri sehingga tamat penggal seperti mana yang dipersetujui sebelum ini.

Pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan lima Ketua UMNO Bahagian di Melaka iaitu Kota Melaka, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Jasin dan Alor Gajah juga setuju menjadikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri.

Sulaiman mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 pada 21 November tahun lalu selepas BN memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka.- MalaysiaGazette