PENANTIAN selama 6 tahun bagi peminat Adi wira Dr Strange kini telah tamat. Instalasi kedua filem tersebut baru sahaja menjengah di pawangam dengan tajuk Doctor Strange in the Multiverse of Madness. Filem yang diarahkan oleh sutradara terkenal Sam Raimi sangat mengujakan dan sarat dengan kejutan.
Kisahnya bermula dengan Dr. Stephen Strange sedang menghadiri majlis perkahwinan bekas kekasih hatinya iaitu Christine Palmer (lakonan Rachel McAdams) dan kemudian tercetusnya huru-hara di jalanan dengan munculnya satu makhluk raksaksa seperti sotong sedang mengejar seorang gadis bernama America Chavez (Xochitl Gomez). America Chavez merupakan seorang buruan kerana mempunyai kuasa untuk merentasi dimensi.
Setelah itu Dr. Strange cuba untuk mendapatkan bantuan Wanda Maximoff bagi menyelesaikan masalah tetapi kemudian menyedari bahawa segala permasalahan itu adalah berpunca dari Scarlet Witch itu sendiri. Hal ini berlaku kerana Scarlet Witch@ Wanda Maximoff itu percaya bahawa dengan kuasa yang ada pada Chavez itu, dia akan boleh bersatu semula dengan dua orang anak lelakinya yang telah mati- Billy dan Tommy. Apabila Strange enggan menyerahkan Chavez, Maximoff menyerang Kamar –Taj dan membunuh ramai ahli sihir.
Kisah Multiverse of Madness ini secara dasarnya membezakan antara ilmu sihir yang digunakan oleh Doctor Strange dan ilmu sihir yang diamalkan oleh Wanda. Tetapi kedua-duanya tetap menggunakan buku mantra yang sama iaitu Book of Vishanti. Cuma ditangan Dr. Strange ia digunakan bagi tujuan yang baik. Sungguhpun demikian aksi yang dipaparkan agak memeningkan kepala kerana penuh dengan kesan khas yang berpusing-pusing, terawang-awang serta sentiasa berpindah dari satu dimensi ke dimensi yang lain.
Sam Raimi dan Waldron jelas berseronok dengan pengarahan filem yang penuh dengan keanehan ini. Hasilnya juga walaupun melampaui batas tetapi penuh degan keterujaan kerana garapanya turut memasukkan subteks emosi manusia dengan cinta, kehilangan dan keluh kesah tentang diri Dr. Strange yang turut patah hati dek cinta seorang wanita. Selain itu juga Sam Raimi juga berjaya mengembangkan jalan cerita dengan menampilkan pelbagai watak adi wira dari siri marvel yang lain dengan versi yang berbeza.
Kesimpulanya Doctor Strange in the Multiverse of Madness bukan filem sembarangan kerana memerlukan penumpuan sepenuhnya daripada penonton kerana jalan ceritanya yang aneh serta kesan visualnya yang memeningkan kepala. Lakonan Elizabeth Olsen sebagai Scarlet Witch@ Wanda Maximoff sangat berkesan serta tidak berlebih-lebihan. Sementara itu lakonan pelakon muda Xochitl Gomez begitu mengagumkan kerana berjaya menghayati watak America Chavez dengan kreatif disamping berharap agar lakonannya boleh dikembangkan lagi dalam siri—siri MCU yang lainya. Lakonan Benedict Cumberbatch pula seperti biasa tidak pernah mengecewakan malahan dalam filem ini dia turut memainkan pelbagai peranan dalam pelbagai versi termasuk sebagai seorang zombie.
Oleh: Rasfan Abu Bakar
Dekan Fakulti Animasi & Multimedia,
Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA)