Home Politik 4 tahun rakyat hadam janji PH hapus PTPTN – Asyraf

4 tahun rakyat hadam janji PH hapus PTPTN – Asyraf

Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Faktor kemenangan Pakatan Harapan (PH) sehingga mengambil alih kerajaan Persekutuan daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mei empat yahun lalu disebabkan rakyat terpedaya dengan janji.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara janji paling berjaya mencetuskan gelombang besar kemenangan PH itu ialah penghapusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut beliau, mereka menggunakan setiap ruang media sosial pada hari berkempen untuk mempengaruhi rakyat sehingga majoriti daripadanya termakan dengan janji itu.

“Empat tahun lalu pada tarikh hari ini, dipenuhi dengan pelbagai reaksi di kalangan anak muda yang begitu seronok menzahirkan kepuasan hati mereka tidak perlu lagi membayar balik hutang PTPTN.

“Ramai di kalangan ibu bapa termasuk jentera UMNO juga termakan. Masakan tidak, ada antara anak mereka bersungguh-sungguh memujuk rayu: “Abah dan mak bagilah undi sekali ini je pada PKR (PH).

“Bayangkan hutang PTPTN kakak sahaja yang kena bayar RM35,500, adik RM28,000. Kalau PH menang jimat RM63,500,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Semalam, 9 Mei genap empat tahun BN hilang kuasa pemerintahan apabila kalah teruk kepada PH pada PRU14 tahun 2018.

PH yang dibarisi PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagaimanapun sempat memerintah selama 22 bulan apabila dijatuhkan oleh PPBM dan sekumpulan Ahli Parlimen PKR menerusi Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Selepas itu, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan dengan sokongan kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan BN.

Namun, pada 16 Ogos tahun lalu, Muhyiddin meletakkan jawatan dan diserahkan kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan sehingga hari ini.

UMNO dan BN dijangka bangkit kembali untuk merampas semula kerajaan Persekutuan dengan kemenangan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta Johor.

Momentum kemenangan itu sedikit sebanyak memberi semangat kepada rakyat untuk kembali memilih BN sebagai kerajaan pada PRU15. – MalaysiaGazette