SHAH ALAM – Selangor FC 2 gagal memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri apabila hanya seri 1-1 kepada Kelantan United FC, pada perlawanan Liga Premier di Stadium UiTM, malam tadi.
Babak pertama bermula dengan tuan rumah berjaya menguasai perlawanan menerusi gol pertama dihasilkan seawal minit kelapan, hasil sepakan kencang dari Abdul Rahman Daud.
Tersentak dengan situasi itu, skuad Kijang Hijau bangkit memulakan beberapa serangan namun gagal menembus gawang tuan rumah.
Masuk babak kedua, skuad kendalian ketua jurulatih Syamsul Mohd Saad terus memulakan asakan ke arah pintu gol Selangor 2, bagi menutup margin kekalahan.
Aksi perlawanan sedikit tercalar apabila pemain tengah tuan rumah Muhammad Haiqal Haqeemi Hairi dilayang kad merah, selepas pengadil perlawanan memberinya kad kuning kedua kerana membantah keputusan pengadil pada minit 64.
Bermain dengan 10 pemain, kubu Selangor 2 terus diasak Kelantan United dengan beberapa percubaan berbahaya.
Peluang terhidang buat Kelantan United pada minit ke-78 apabila tandukan kemas dilakukan Muhammad Aliff Najmi Shaaini, bagi menyamakan kedudukan dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan. – MalaysiaGazette