GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang di kilometer 4.0 arah Perai menghala pulau hari ini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Lau Choon Chye, 66, yang dipercayai dari Paya Terubong di sini.
Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak bomba pada jam 7.07 pagi tadi.
Jelas beliau, warga emas itu dikatakan bertindak meninggalkan kereta jenis Perodua Kancil miliknya di atas jambatan sebelum bertindak terjun.
“Susulan itu, maklumat kejadian disalurkan terus ke Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi untuk pengaktifan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).
“Operasi CARILAMAT diaktifkan pada jam 8.00 pagi turut membabitkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam serta Pasukan Polis Marin Batu Uban.
“Dalam pada masa yang sama, bot PERKASA 1221 diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian.
“Usaha pencarian masih dilakukan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam perkembangan sama, Abd Razak berkata, sebanyak empat kes orang awam terjun Jambatan Pulau Pinang dilaporkan dalam tempoh 10 hari sejak awal Mei hingga kini.
“Secara keseluruhan sejak Januari pula sudah lapan kes direkodkan,” ujar beliau.
Orang awam diminta agar melaporkan sebarang penemuan dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04 262 6146. – MalaysiaGazette