KUALA LUMPUR – Sabah merekodkan eksport tertinggi bagi minyak sawit bernilai RM1.8 bilion (23.5%), diikuti Johor (RM1.7 bilion, 23.1%) dan Sarawak (RM1.5 bilion, 20.3%) pada bulan Mac lalu.
Jabatan Perangkaan berkata, eksport minyak sawit bernilai RM7.5 bilion pada Mac 2022.
Malaysia merekodkan jumlah dagangan Malaysia pada bulan Mac 2022 sebanyak RM236.6 bilion (meningkat 27.3% tahun ke tahun) dengan nilai eksport RM131.6 bilion (meningkat 25.4% tahun ke tahun) dan import bernilai RM104.9 bilion (meningkat 29.9% tahun ke tahun).
Eksport bulan Mac itu meningkat sebanyak RM26.6 bilion (+25.4%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM9.6 bilion), Johor (+RM6.5 bilion), Sarawak (+RM3.9 bilion), Selangor (+RM2.2 bilion), Kedah (+RM2.1 bilion), Sabah (+RM1.4 bilion), Kuala Lumpur (+RM1.3 bilion), W.P. Labuan (+RM1.3 bilion), Negeri Sembilan (+RM90.5 juta) dan Perlis (+RM9.7 juta).
Walau bagaimanapun, eksport menyusut di Melaka (-RM672.5 juta), Terengganu (-RM545.5 juta), Perak (-RM174.8 juta), Pahang (-RM92.0 juta) dan Kelantan (-RM78.0 juta).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, import juga meningkat RM24.1 bilion (+29.9%) pada Mac 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan import dicatatkan di Johor (+RM4.5 bilion), Pulau Pinang (+RM4.5 bilion), Melaka (+RM4.4 bilion), Selangor (+RM2.7 bilion), Negeri Sembilan (+RM1.9 bilion), Kedah (+RM1.6 bilion), Kuala Lumpur (+RM1.3 bilion), Pahang (+RM1.1 bilion), Sarawak (+RM964.8 juta), Perak (+RM481.0 juta), Labuan (+RM108.9 juta), Sabah (+RM106.8 juta) dan Perlis (+RM26.0 juta).
Tetapi import menurun di Kelantan (-RM108.5 juta) dan Terengganu (-RM107.8 juta).
Menurutnya, antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 31.3 peratus, diikuti oleh Johor (19.8%), Selangor (18.1%), Sarawak (7.5%) dan Kuala Lumpur (4.1%).
Sementara itu, bagi import, Selangor kekal sebagai penyumbang utama dengan 25.2 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (22.4%), Johor (19.3%), Kuala Lumpur (6.8%) dan Melaka (6.3%). – MalaysiaGazette