Home Utama 88.5% doktor pelatih di P.Pinang tertekan – CAP

88.5% doktor pelatih di P.Pinang tertekan – CAP

Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merumuskan 88.5 peratus doktor pelatih di Pulau Pinang tertekan ketika menjalankan tugas.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ia susulan tinjauan penilaian tahap tekanan terhadap doktor pelatih itu baru-baru ini mendapati mereka berada antara skala tiga dan lima.

Jelas beliau, lebih mengejutkan, 15.4 peratus daripada jumlah itu menilai tahap tekanan mereka pada skala maksimum iaitu lima.

Kata Mohideen, tekanan dan kemurungan dikaitkan bagaimana doktor dilayan serta sistem institusi mengendalikan aduan mereka.

“Pekerjaan profesional perubatan meletakkan seseorang itu dalam kedudukan unik yang mudah terdedah kepada tekanan kerana mereka berada di bawah tekanan yang berterusan dengan rasa tanggungjawab untuk menjaga nyawa orang lain adalah di tangan mereka.

“Mereka mungkin berasa gagal apabila pesakit di bawah jagaannya meninggal dunia walaupun telah mencuba yang terbaik. Bukan nyawa sahaja yang terkorban tetapi keperitan melihat keputusan ahli keluarga arwah yang kehilangan orang tersayang.

“Walau bagaimanapun, kami ingin menyimpulkan kajian bahawa sebilangan besar orang yang mungkin dianggap berisiko tinggi bagi membunuh diri tidak akan membunuh diri mereka sendiri dan kira-kira separuh daripada semua kes bunuh diri akan berlaku dalam kalangan orang yang dilihat berisiko rendah, ” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas dengan perwakilan daripada doktor, jururawat, dan masyarakat awam bagi menyiasat dakwaan layanan buruk terhadap doktor pelatih, beban kerja dan keadaan kerja mereka.

Kata Mohideen, jawatankuasa itu perlu menerbitkan laporan dengan cadangan bagi memperbaiki keadaan kerja mereka dan memulihkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan yang wajar.  

“Kita imbang dengan laporan terkini mengenai doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang membunuh diri dan ia menjadi kes kedua dalam tempoh dua tahun.

“Kes buli terhadap pelatih dan kakitangan perubatan lebih muda mungkin hanya sebahagian kecil hal namun masalah sebenarnya mungkin lebih besar.

“Ia tidak boleh dikendalikan secara sedikit demi sedikit atau mengambil tindakan apabila timbul masalah saja memandangkan kes buli doktor pelatih dan doktor junior tidak terbatas di Pulau Pinang sahaja,” ujar Mohideen. – MalaysiaGazette