Home Nasional Kereta terbakar mengundur sendiri di Genting Highlands

Kereta terbakar mengundur sendiri di Genting Highlands

KUANTAN – Sebuah kereta yang terbakar mengundur sendiri dan melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV)  dalam kejadian Jalan Genting Highlands di Kilometer 2.9, Bentong dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kereta yang dipandu oleh seorang lelaki warganegara tempatan berusia 44 tahun itu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Genting Highlands.

Menurutnya, kemalangan berlaku kira-kira pukul 4 petang pada 8 Mei lalu itu melibatkan dua buah kenderaan jenis Hyundai Elantra dan sebuah kenderaan pelbagai guna MPV jenis Toyota Vellfire.

“Tiba-tiba kereta yang dipandu oleh lelaki tersebut keluar api di bahagian enjin, kemudian merebak ke bahagian lain lalu pemandu tersebut telah berhenti dan meninggalkan keretanya di atas jalan raya.

Sebuah kenderaan jenis Hyundai Elantra dalam kejadian di Jalan Genting Highlands Kilometer 2.9, Bentong, Pahang.

“Kereta tersebut telah mengundur dengan sendiri dan terlanggar sebuah kereta MPV yang berada di belakang namun kedua-dua pemandu kenderaan yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zaiham berkata, kes di siasat di bawah kaedah 14 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (ln166/59) yang boleh dihukum mengikut kaedah yang sama.

Pihaknya meminta saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.

Terdahulu video kejadian tersebut tular di media sosial  selepas detik mencemaskan itu sempat dirakam seorang netizen dipercayai berada di atas kereta kabel.

Berdasarkan rakaman video itu, pengguna jalan raya turut cemas selepas kereta terbakar itu mengundur ke belakang lalu merempuh kenderaan  MPV itu. – MalaysiaGazette