KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengesahkan telah menerima pelbagai aduan berkaitan syarikat-syarikat penerbangan yang membuat perubahan secara sembarangan pada jadual penerbangan tanpa memberi notis yang mencukupi kepada pengguna.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, selaras dengan mandat MAVCOM memelihara hak-hak pengguna penerbangan, pihaknya telah mengarahkan syarikat-syarikat penerbangan untuk menyerahkan semua data berhubung gangguan jadual penerbangan sepanjang tempoh perayaan dari 29 April lalu hingga semalam.
Ia bertujuan untuk mendapatkan informasi yang objektif, tepat dan menyeluruh berkenaan isu tersebut.
Beliau menjelaskan, data yang dipohon itu termasuk informasi berkenaan penerbangan berjadual yang telah dirancang oleh semua syarikat penerbangan berbanding jumlah penerbangan yang dijadualkan semula yang telah berlangsung semasa tempoh perayaan tersebut.
“Di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC), syarikat penerbangan dikehendaki untuk memaklumkan pengguna mengenai sebarang perubahan dalam status penerbangan secepat mungkin.
“Untuk penundaan penerbangan selama dua jam atau lebih, syarikat penerbangan mesti menyediakan makanan serta memberikan pengguna akses kepada panggilan telefon serta internet.
“Di samping itu, bagi penundaan penerbangan selama lima jam atau lebih, syarikat penerbangan harus menyediakan penginapan dan pengangkutan jika diperlukan oleh pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saripuddin menambah, sekiranya masa penerbangan yang dijadualkan semula tidak memenuhi tujuan perjalanan pengguna, bayaran balik tiket penerbangan juga perlu dibuat oleh syarikat penerbangan.
Jelas beliau, pengguna yang menghadapi isu penundaan penerbangan, isu semasa penerbangan dan tidak mendapat penjagaan yang sewajarnya diminta untuk membuat aduan rasmi kepada syarikat penerbangan berkenaan.
Selain itu, pengguna digalakkan untuk mengemukakan aduan mereka kepada MAVCOM melalui laman web FlySmart di www.flysmart.my atau aplikasi mudah alih FlySmart bersama-sama dengan dokumentasi yang berkaitan untuk memudahkan penyiasatan.
“Pada masa yang sama, MAVCOM sedang memperhalusi MACPC untuk memperkemas serta menambahbaik lagi perlindungan pengguna, terutamanya dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelumnya.
“Isu ini merupakan perkara yang mendesak dan MAVCOM akan terus memastikan pemain industri kekal mematuhi MACPC dan hak-hak pengguna terus ditegakkan,” katanya. – MalaysiaGazette