KUALA LUMPUR – Berbaki sehari sahaja lagi debat terbuka antara Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, satu slot khas akan diberikan kepada rakyat Malaysia.
Menurut Anwar, beliau diberikan peluang untuk mengemukakan satu soalan kepada Najib dalam salah satu sesi debat terbuka tersebut.
“Esok ada debat dengan Datuk Seri Najib, saya diminta untuk bertanyakan satu soalan kepada Najib.
“Apakah soalan yang kamu semua nak kemukakan? Tolong nasihat saya (mengenai soalan kepada Najib), terima kasih,” katanya di Twitter hari ini.
Video berdurasi 32 saat itu kini ditonton lebih 1,000 pengguna Twitter.
Rata-rata warganet di Twitter Anwar menggesa agar beliau bertanyakan soalan mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Esok debat terbuka antara Najib dan Anwar bakal mengambil tempat di Pusat Pelancongan Malaysia secara langsung pada pukul 9 malam.
MalaysiaGazette akan menyiarkan debat perdana secara Live di portal, laman Faceboook dan Twitter.
Debat juga akan disiarkan secara langsung di Astro Awani, Sinar Harian dan Sin Chew. – MalaysiaGazette