Home Politik Tun M tidak ada locus standi buat keputusan kepimpinan PH

Tun M tidak ada locus standi buat keputusan kepimpinan PH

Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir tidak ada locus standi untuk membuat keputusan berhubung kepimpinan dalam Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Lantaran itu, dakwaan Dr. Mahathir bahawa DAP tidak pernah meminta jawatan Perdana Menteri bukan satu keputusan yang dibuat atau diputuskan oleh pakatan itu.

Jelasnya, dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu jelas menunjukkan parti-parti pembangkang masih belum dapat menyelesaikan isu kepimpinan jika mereka menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

“Ini adalah masalah yang tidak selesai. Oleh sebab itu Dr. Mahathir cakap lain, DAP kata lain.

“Sedangkan kita tahu DAP cuba menjadi dominan dalam pakatan, menjadi punca hubungan Pas dalam Pakatan Harapan mengalami keretakan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Kompleks Industri Makanan MARA di sini hari ini.

Tambah beliau, pakatan pembangkang tidak mampu mencapai kesepakatan dan kestabilan dalam kepimpinan dan gerak kerja seperti Barisan Nasional meskipun cuba menirunya.

Annuar menambah, UMNO dan Barisan Nasional tidak berminat untuk mengulas isu kepimpinan dalam kalangan parti-parti pembangkang kerana mahu memberi tumpuan kepada agenda nasional terutama membabitkan rakyat.

“Biarlah mereka dalam keadaan begitu, kita tidak perlu layan karenah mereka,” ujarnya.

Semalam, Dr. Mahathir berkata, DAP tidak pernah meminta jawatan Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang pada PRU.

Sebaliknya, Dr. Mahahir mendakwa  kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa DAP akan memerintah negara ini sekiranya pengundi memilih Pakatan Harapan (PH) adalah tindakan yang mahu menakut-nakutkan rakyat khususnya kaum Melayu. – MalaysiaGazette