GEORGE TOWN – Pemimpin dan ahli UMNO perlu membersihkan parti itu daripada terpalit dalam isu rasuah serta salah guna kuasa untuk kembali sebagai jaguh sempena menyambut ulang tahun UMNO yang ke-76 tahun ini.
Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, tindakan membersihkan parti itu daripada rasuah dan salah guna kuasa akan membuatkan anak muda di negara ini bersedia untuk mewarisi kepimpinan parti keramat tersebut.
Bagaimanapun, jelas beliau, usaha untuk meremajakan parti itu dilihat gagal apabila ramai anak muda Melayu tidak ditarik untuk menyertai barisan kepimpinan UMNO diperingkat cawangan, bahagian serta kebangsaan.
“Sebagai veteran UMNO saya dapat melihat beberapa pemimpin yang pernah terpalit dengan isu rasuah masih lagi mahu memegang jawatan dalam parti.
“Malah pemimpin terbabit dikatakan mahu menjadi wakil rakyat kerana masih mengejar kemewahan hidup.
“Kepada mereka ini, saya ingin menasihati sudah-sudahlah beri laluan pula kepada generasi baharu. Cukup sekadar menjadi penasihat tambahan pula mereka sudah memegang jawatan dari rambut hitam lebat sehingga rambut jarang dan putih,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Yussof berkata, pemimpin UMNO harus bersikap terbuka untuk menerima teguran dan kritikan sekiranya mahukan sokongan padu daripada orang Melayu.
“Pemimpin UMNO juga perlu ada sikap sanggup berundur jika mereka dinasihat mahupun didesak untuk berbuat demikian demi menyelamatkan parti.
“Sekiranya UMNO mahu kembali mentadbir negara bersama Barisan Nasional, pemimpinnya harus membuktikan sikap keterbukaan, berintegriti, jujur, ikhlas dan amanah dengan tidak lagi pentingkan diri untuk mengaut kekayaan peribadi,” tegas beliau.
UMNO akan mengadakan sambutan Ulang Tahun Penubuhan UMNO Ke-76 di Pusat Dagangan Kuala Lumpur pada Ahad ini bersempena Perhimpunan Agung Khas dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. – MalaysiaGazette