Home Pendapat Buli bukan trend

Buli bukan trend

Kesan tapak kasut pada baju mangsa yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah di daerah Timur Laut.

BULI dalam kalangan pelajar sekolah tidak pernah berhenti dilaporkan di media. Bukan hanya di Malaysia, kegiatan tidak bermoral ini dikesan berlaku di mana-mana sahaja. Walaupun ia seringkali dikaitkan dengan pelajar di peringkat sekolah, namun, kesan daripada kegiatan ini membawa hingga ke hari tua.

Jika dahulu, ia menjadi satu ‘trend’ yang popular dalam kalangan pelajar lelaki, kini pelajar perempuan juga tidak kurang hebatnya. Malah, perbuatan yang dirasakan hebat dan ala samseng ini menjadi kebanggaan bagi si pembuli yang secara tidak
langsung mempengaruhi rakan sebaya yang rapat dengannya.

Seringkali kita dengar kesan yang menimpa kepada mangsa buli. Rata-rata, mangsa buli biasanya akan mengalami trauma yang teruk serta hilang keyakinan diri apabila berkawan ataupun bergaul dengan orang lain kerana bimbang akan menjadi mangsa dengan sesiapa sahaja. Perasaan malu akibat dibuli di depan rakan-rakan juga akan memburukkan lagi tahap keyakinan mereka.

Bagi mangsa yang membesar dalam suasana tidak sihat ini, mereka cenderung untuk terus hilang keyakinan diri tetapi bagi sesetengah daripadanya, mereka memasang dendam yang membawa sehingga ke alam dewasa. Tidak mustahil, mereka uga mampu membalas dendam dalam keadaan yang mungkin tidak mencederakan secara fizikal tetapi dalam bentuk cara yang lain.

Bagi si pembuli pula, walau apa jua sebabnya daripada memang suka membuli mereka yang dirasakan lemah kerana bertubuh lebih kecil atau berpunca daripada perasaan dendam kerana tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, pembuli sebenarnya boleh dianggap sakit apabila berada dalam keadaan yang tidak mempunyai sifat kasihan apabila menyakiti orang lain.

Sakit yang dimaksudkan di sini ialah penyakit hati. Apabila hati tidak dapat dikawal dengan baik, naluri kemanusiaan seperti hilang sehingga boleh mencederakan orang lain secara fizikal untuk mendapat kepuasan. Sifat sebegini sebenarnya berbahaya kepada dirinya sendiri mahupun mereka yang berada di sekelilingnya. Jika dibiarkan berterusan, mungkin mereka ini akan terus bersifat ganas selagi boleh dilepaskan dan mungkin boleh mencederakan mereka yang dekat atau rapat dengannya.

Mungkin dulu ramai yang memandang ringan kerana merasakan ia satu perkara biasa kerana pelajar sekolah rendah misalnya, masih mentah dalam menilai baik buruk sesuatu perkara dan mungkin belum bijak mengawal emosi sendiri. Akan tetapi, pada
zaman teknologi moden yang membolehkan apa sahaja berlaku, kegiatan buli ini boleh terjadi dalam apa saja situasi termasuk mencederakan emosi terutamanya melalui sosial media yang sangat popular terutamanya di Malaysia.

Dalam sesetengah kes buli, mangsa dibelasah teruk sehingga meninggal dunia dan ada juga yang mengalami masalah depresi atau penyakit mental kerana terlalu tertekan sehingga mengakibatkan ketinggalan pelajaran. Ini bukanlah sesuatu yang boleh dianggap remeh hanya kerana ia ‘biasa’ berlaku ketika zaman persekolahan kerana akibat daripada kegiatan tidak bermoral itu boleh memberi impak negatif yang boleh merosakkan masa hadapan seseorang pelajar.

Mungkin mustahil untuk menghentikan terus kegiatan buli ini tetapi sudah sampai masanya semua pihak terutamanya ibu bapa untuk lebih prihatin terhadap keadaan anak-anak yang masih bersekolah ini. Walau dalam kesibukan bekerja sekalipun,
didikan agama dan moral tetap perlu diamalkan dan diperhatikan bagi membesarkan anak-anak dalam suasana yang baik supaya membesar menjadi insan yang berguna.

Dalam banyak kes, anak-anak mangsa buli ini biasanya akan diugut untuk tidak memberitahu sesiapa dan mereka akan berasa takut untuk menceritakan hal tersebut. Dalam hal ini, guru kelas atau guru disiplin juga harus bekerjasama apabila ibu bapa
ada bertanyakan tentang hal yang boleh cenderung menjadi kes buli. Perubahan sikap yang berlaku kepada anak-anak baik yang menjadi mangsa mahupun pembuli perlu diperhatikan dari semasa ke semasa supaya dapat dibendung dan diselesaikan dari awal.

Disebabkan itu, walau apa jua cara sekalipun, didikan agama dan moral ini tetap perlu berlaku dari rumah di mana amalan ibu bapa perlu menjadi contoh dan idola bagi anak-anak. Jika kedua-dua perkara ini semakin diambil mudah, sudah pasti generasi
akan datang yang akan menghadapi keadaan yang lebih buruk kerana membesar dan hidup dalam keadaan tiada panduan dan pegangan agama yang baik.

Oleh: Dr Safiyyah Ahmad Sabri
Pensyarah Kanan
Program Komunikasi
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)