Home Sukan Jaringan minit akhir selamatkan rekod tanpa kalah JDT

Jaringan minit akhir selamatkan rekod tanpa kalah JDT

Fernando Forestieri (kiri) dan Bergson Gustavo Silva (kanan)

KUALA LUMPUR – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam aksi Liga Super 2022 menentang Negeri Sembilan (NSFC) malam tadi.

Perlawanan sengit yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu gagal dimanfaatkan oleh NSFC di tempat sendiri apabila rekod tanpa kalahnya tercalar setelah tewas 1-0.

Skuad Harimau Selatan kendalian Mora Mendivil Benjamin itu berjaya meledak gol pada minit ke-10 masa tambahan setelah beraksi 90 minit tanpa sebarang jaringan.

Jaringan minit akhir hasil rembatan kencang Fernando Forestieri sebelum wisel penamat ditiupkan itu berjaya membawa kembali JDT sebagai pendahulu Liga Super.

Negeri Sembilan kini menduduki tangga kedua liga selepas kecundang untuk mengekalkan rekod tanpa kalah apabila kekal dengan 14 mata dalam tujuh perlawanan.

Manakala, JDT kembali mendahului kedudukan pertama liga dengan mencatatkan kemenangan untuk kesemua lima perlawanan dengan mengutip 15 mata sekali gus mempertahankan rekod tanpa kalah setakat ini. – MalaysiaGazette