Home Nasional Selangor selesai bayar pampasan kepada mangsa banjir

Selangor selesai bayar pampasan kepada mangsa banjir

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor telah melulus dan membuat pembayaran sebanyak RM122 juta kepada 122,000 keluarga yang terkesan dengan bencana banjir  negeri ini pada akhir tahun lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata, bantuan diberikan menerusi Bantuan Selangor Bangkit (BSB) sebanyak RM1,000 sudah selesai dan kini menunggu laporan akhir sehingga 31 April.

Menurut beliau, kerajaan negeri sudahpun memberi tempoh yang panjang untuk mangsa yang terkesan mengambil bantuan yang diberikan, termasuklah mereka yang berulang kali memohon kerana kekangan perjalanan dan sebagainya.

Katanya, jumlah akhir angka yang telah menerima akan diumumkan dalam tempoh sehari atau dua ini.

Pada masa sekarang, katanya,  kerajaan negeri sedang menumpukan kepada bantuan-bantuan seperti perumahan namun proses tersebut mengambil masa dan ada yang diselaraskan oleh Pusat Zakat, selain dibantu oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Dalam pada itu beliau turut berkata, pihaknya menerima beberapa aduan berkenaan bantuan yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan yang masih belum sepenuhnya diterima oleh mangsa-mangsa banjir.

“Saya ada juga dapat aduan berkenaan bantuan yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) belum sepenuhnya disampaikan,”

“Mungkin ada kekangan tertentu jadi saya sedang perkemaskan di peringkat daerah supaya bantuan RM2,500 yg diumumkan dahulu sampai ke tangan pemohon melalui Pejabat Tanah dan Pejabat Daerah serta ICU.” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri juga sedang memperbaiki infrastruktur yang terjejas akibat banjir pada tahun lepas.

“Kita nak pastikan segala kerosakan tu dapat dibaiki, tetapi sebahagian besarnya ambil masa yg panjang.

“Antaranya di Genting Perdas, yang terletak di sempadan Hulu Langat dan Negeri Sembilan yang mana banyak berdepan masalah tanah runtuh”

“Di tempat-tempat awam seperti jalan raya, sungai di sekitar Selangor yang terjejas turut sedang dibaik pulih, di kadar 50 peratus hampir selesai.” katanya. -MalaysiaGazette