KUALA LUMPUR – Debat Perdana antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak malam ini perlu diteruskan bukan bermusim.
Bahkan ia boleh dijadikan sebahagian daripada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Anwar berkata, budaya perbahasan secara sepentas antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada malam ini adalah satu permulaan kepada kempen pilihan raya.
“Teruskan suasana perbahasan seperti ini untuk keluarkan isu-isu lebih besar dan saya fikir perlu ada. Ini satu permulaan kempen pilihan raya. Kempen pilihan raya patut ada seperti ini,” katanya kepada pemberita di bangunan MATIC malam ini.
Terdahulu Presiden PKR itu sepentas dengan Najib yang juga bekas Perdana Menteri keenam itu dalam program Debat Perdana yang julung kali diadakan malam ini yang mengupas pelbagai isu panas berkaitan negara.- MalaysiaGazette