KUALA LUMPUR – Ekonomi dalam negeri dijangka terus bertambah baik tahun ini, dengan pertumbuhan diunjurkan antara 5.3% hingga 6.3% seperti yang diumumkan pada bulan Mac 2022.
Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah berkata, unjuran ini disokong oleh permintaan dalam negeri yang lebih kukuh, permintaan luaran yang terus berkembang dan pasaran pekerja yang terus bertambah baik.
Pertumbuhan juga akan menerima manfaat daripada pelonggaran sekatan, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pelaksanaan projek pelaburan.
Bagaimanapun, menurut beliau, risiko terhadap momentum pertumbuhan Malaysia masih wujud.
Risiko ini termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meruncing, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk, perkembangan buruk berhubung dengan Covid-19 dan volatiliti pasaran kewangan yang meningkat.
Bagi tahun 2022, inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 2.2% hingga 3.2% dalam persekitaran kos input yang tinggi dan permintaan yang bertambah baik.
Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, juga dijangka meningkat pada tahun ini dengan mencatatkan purata antara 2.0% hingga 3.0%.
Tambahnya, beberapa faktor penting dijangka membendung sebahagian daripada tekanan harga menaik, iaitu langkah-langkah kawalan harga yang sedia ada dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.
Meskipun begitu, prospek inflasi terus bergantung pada perkembangan harga komoditi, yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan.
Prospek ini juga bergantung pada langkah-langkah dasar dalam negeri berhubung dengan harga yang ditadbir, ujar beliau. – MalaysiaGazette