RAUB – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan supaya penerima rumah kurniaan tidak sewenang-wenangnya menjualkan kurniaan baginda itu.
Baginda dalam titahnya menzahirkan rasa duka sekiranya ada pemilik menjual rumah berkenaan kepada pihak ketiga.
Justeru baginda menetapkan syarat kepada pemilik rumah agar mendapatkan kebenaran daripada pihak Pegawai Daerah Raub bagi sebarang urusan pemindahan milik atau jual beli.
“Saya tidak mahu adanya dalam kalangan penerima menjual pulak rumah ini, sedihlah saya kalau ia berlaku, jadi kita pun dah buat satu prasyarat mesti dapat kebenaran daripada Pegawai Daerah Raub.
“Bukan nak menyusahkan, bukan nak perketatkan, kita nak menjaga kepentingan tuan tanah, kalau ikut segi hutang memang tak ada semua dibiayainya,” titahnya.
Baginda bertitah demikian semasa majlis kurniaan kunci rumah Rumah Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) kepada penerima Shaharin Ahamad Amiruddin di Kampung Tanjung Putus, Raub hari ini.
Difahamkan sebanyak lima unit Rumah Kurnia YASA dibina atas tanah milik sendiri bagi penduduk Raub yang terkesan akibat bencana banjir.
Sebanyak empat buah rumah dibina dengan konsep bertiang dan sebuah lagi dibina di atas tanah tanpa tiang itu bernilai RM 100,000.
Rumah batu seluas 48×20 kaki itu mempunyai tiga bilik dan tiga buah bilik air turut diserahkan dengan kelengkapan perabot.
Baginda menitahkan agar rumah yang dibina bertahan lama bagi kegunaan generasi akan datang dan meminta penerima rumah menjaga kurniaan baginda.
Dalam pada itu, baginda sempat bertitah agar pemaju tidak mengambil kesempatan dengan memikirkan keuntungan semata-mata dalam membina rumah mangsa banjir.
“Ingatkan kepada kontraktor dalam memajukan rumah, jangan fikir banyak sangat untung.
“Anggap ini satu hikmat kepada mereka yang memerlukan dan buatlah yang sebaik mungkin dengan persiapan rumah ini. Binaan yang kurang baik akan menyusahkan tuan rumah. – MalaysiaGazette