KUALA LUMPUR – Operasi Selamat 18 yang dilaksanakan sempena Aidilfitri bermula 29 April hingga 8 Mei lalu menyaksikan 15,947 kes kemalangan jalan raya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 1.0 peratus atau 111 kes berbanding 15,836 kes sepanjang Op Selamat 15 tiga tahun lalu.
Menurutnya, kes kemalangan maut kali ini merekodkan peningkatan sebanyak 7.0 peratus (10 kes) dengan menjadi 160 kes berbanding 150 kes semasa Op Selamat 15/2019.
“Manakala jumlah kematian turut merekodkan peningkatan sebanyak 4.0 peratus (enam kes) dengan 166 kes berbanding 160 kes semasa Op Selamat 15/2019,” katanya dalam kenyataan yang di keluarkan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Kes cedera parah juga meningkat tiga kali ganda dengan 192 kes berbanding 60 kes parah pada Op Selamat 15/2019 manakala sebanyak 536 kes cedera ringan berbanding 131 kes kecederaan ringan tiga tahun lalu.
Penunggang dan pembonceng motosikal merekodkan angka kematian tertinggi dan juga penyumbang utama kepada keseluruhan kes tersebut.
Op Selamat tahun ini menyaksikan 108 kes mati (65 peratus), menurun dua kes berbanding 110 kes semasa Op Selamat 15.
“Pemandu dan penumpang kereta penyumbang kedua tertinggi angka kematian iaitu sebanyak 40 kes mati, juga menurun satu kes berbanding 41 kes mati semasa Op Selamat 15.
“Kes kematian melibatkan pejalan kaki seramai 10 orang dan seorang pemandu teksi,” katanya.
Menurut Acryl Sani, sepanjang Op Selamat 18, kesesakan yang berlaku di jalan dan lebuhraya utama negara telah dapat dikawal dengan baik melalui Op Lancar.
Secara keseluruhannya sebanyak 338,296 saman dikeluarkan berbanding 223,449 saman pada Op Selamat 15/2019 sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 51 peratus (114,847saman).
Sebanyak 252,375 saman dikeluarkan untuk enam kesalahan utama di atas jalan raya sepanjang tempoh itu dengan kesalahan memandu melebihi had laju yang ditetapkan merupakan kesalahan tertinggi yang dilakukan pengguna iaitu sebanyak 240,421 saman dikeluarkan.
Langgar lampu isyarat menerima 4,375 saman disusuli kesalahan memotong barisan (3,582 saman), menggunakan alat komunikasi merekkodkan 1,991 saman, memotong di garisan kembar (1,202 saman) dan akhirnya memandu di lorong kecemasan.
Tambahnya, sebanyak 313 kes pecah rumah telah dilaporkan pada Op Selamat 18 menunjukkan penurunan drastik 42.6 peratus (232 kes) berbanding 545 kes pecah rumah semasa Op Selamat 15/2019.
Dalam Op Selamat sama, seramai 194 orang ditahan kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan 113 orang penunggang motosikal turut ditahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta 16 kes tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette