KUALA LUMPUR – Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar ibu kota mendapati, orang ramai masih tidak dapat melupakan detik bersejarah itu yang dianggap satu pertarungan ilmiah sejak kedua-duanya menjadi seteru politik pada 1997.
Menurut seorang pekerja pembinaan, Muhammad Bazli Saidin, 40, berkata, perdebatan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) semalam jelas menunjukkan Najib mempunyai hujah yang memberi penyelesaian masalah berbanding Anwar yang lebih bersifat melepaskan dendam.
“Secara jujurnya, debat semalam sangat bersejarah. Saya nampak debat semalam Najib lebih relevan berbanding Anwar sebab Najib lebih kepada menyelesaikan masalah berbanding Anwar lebih kepada lepaskan dendam,” katanya ketika ditemui di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.
Jelasnya, Anwar kelihatan tidak bersedia untuk berdebat apabila hujah yang dilontarkan hanya menjurus kepada pembanterasan korupsi semata-mata tanpa memikirkan jalan penyelesaian terhadap kemelut syarikat gas dan minyak, Sapura Energy Berhad.
“Saya nampak Anwar tidak bersedia, dia kelihatan lebih fokus untuk banteras korupsi. Saya tahu cegah korupsi itu penting tapi dalam masa sama dia patut fikir kepentingan rakyat. Kalau kita lihat hujah Najib, dia memang bagi jalan penyelesaian, dalam masa sama Najib juga ingin membanteras korupsi.
“Contohnya, Najib cakap Petronas ambil alih syarikat Sapura, itu idea bernas kerana saya setuju itulah jalan selamatkan ekonomi negara. Tapi Anwar cuma berhujah untuk tumpu forensik semata-mata dan tidak memastikan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Selain itu, seorang pekerja swasta, Wan Amirullah Wan Shafie, 53, debat itu merupakan budaya yang baik dan patut digalakkan lebih banyak debat diadakan daripada turun ke jalan raya dan membuat provokasi.
“Saya rasa lebih baik lebih baik berdebat supaya kedua-dua pihak dapat menyuarakan pandangan masing-masing dan biar rakyat menilai.
“Saya ingin ucapkan syabas kepada semua penganjur. Terima kasih kepada MalaysiaGazette, harapan saya pada masa hadapan MalaysiaGazette boleh anjurkan lagi debat untuk pencerahan kepada masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pesara Lembaga Tabung Haji, Zulkifli Mohamad, 60, pula berpandangan Debat Perdana semalam adalah satu perbincangan yang tidak menyelesaikan masalah.
Katanya, alangkah baiknya jika debat itu membabitkan mereka yang mempunyai kuasa dalam pentadbiran negara. – MalaysiaGazette