KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket pelacuran dengan tertangkapnya enam individu yang disyaki dalang sindiket tersebut di sebuah premis di Jalan Landak, Off Jalan Pudu, di sini, pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, semasa serbuan jam 10.20 malam itu, pihaknya menahan lima wanita tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 29 tahun hingga 55 tahun kerana dan disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran di sekitar kawasan Pudu.
“Hasil pemeriksaan di dalam premis tersebut telah merampas wang tunai RM310, 15 keping kondom, lima gulung tisu, lima buku catitan dan satu telefon bimbit jenama Vivo milik suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati setiap pelanggan yang datang ke premis pelacuran itu dikenakan bayaran sebanyak RM80 hingga RM100 bagi setiap satu jam perkhidmatan seks yang ditawarkan oleh pelacur.
Menurut Noor Dellhan, kesemua mereka ditahan untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan.
Tambah beliau, suspek direman selama empat hari mulai 12 hingga 15 Mei ini bagi siasatan. – MalaysiaGazette