Home Nasional ASEAN tegas dalam isu antarabangsa semasa bertemu Biden – PM

ASEAN tegas dalam isu antarabangsa semasa bertemu Biden – PM

Ismail Sabri Yaakob

WASHINGTON D.C – Pemimpin ASEAN kekal tegas dalam beberapa isu antarabangsa semasa pertemuan mereka dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di sini pada Jumaat (Sabtu di Malaysia).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemimpin ASEAN juga menunjukkan pendirian bersama ketika membincangkan isu Rusia-Ukraine dan Laut China Selatan.

ASEAN mahu krisis Rusia-Ukraine diselesaikan melalui meja rundingan, katanya kepada media Malaysia selepas menghadiri sesi akhir sidang kemuncak khas dua hari itu bersama Presiden Biden dan pemimpin ASEAN.

“Perang tidak menguntungkan sesiapa. Malah banyak pihak yang rugi kerana kesan perang itu,” katanya.

Dalam konteks ini, Malaysia, kata beliau, berpendapat AS harus menggunakan pengaruhnya untuk membantu menyelesaikan krisis Rusia-Ukraine.

Ismail Sabri berkata Malaysia menegaskan bahawa negara-negara Asia Tenggara turut terjejas akibat perang itu terutamanya dari segi kenaikan inflasi serta harga makanan dan oleh itu mahu perang tersebut diselesaikan secara aman.

Pada 24 Feb, Rusia melancarkan operasi ketenteraan penuh ke atas Ukraine, beberapa hari selepas Kremlin mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah di timur Ukraine.

Menyentuh isu Laut China Selatan, Perdana Menteri berkata ASEAN juga bertegas dalam pendiriannya bahawa laluan itu perlu bebas daripada campur tangan luar.

“Laut China Selatan mesti kekal bebas seiring dengan kebebasan navigasi yang berdasarkan perundangan antarabangsa. Ia beri kesan pada rantaian bekalan jika wujud konflik di kawasan itu,” katanya.

Pemimpin Malaysia itu menyeru semua negara menghormati pendirian ASEAN dalam perkara itu. – MalaysiaGazette