Home Sukan Piala FA: Fernando Forestieri ancaman besar buat Sarawak United

Piala FA: Fernando Forestieri ancaman besar buat Sarawak United

Fernando Forestieri. Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Penyerang Sarawak United FC, Nur Shamie Iszuan Amin menganggap penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri antara ancaman besar yang perlu diawasi untuk aksi pusingan kedua Piala FA, malam ini.

Jelasnya, JDT pastinya akan menurunkan kesebelasan terbaik dalam memastikan slot suku akhir dalam genggaman, namun Sarawak United lebih bersedia dalam menghadapi tentangan tuan rumah terutamanya beberapa pemain import mereka.

Menyifatkan Forestieri antara salah seorang penyerang yang berbahaya, Shamie percaya sekiranya pasukan mempamerkan disiplin terbaik atas padang, tidak mustahil kemenangan mampu menjadi milik mereka.

“Kami datang ke Johor berdepan JDT bukan untuk kalah, walaupun kita tahu mereka bukan mudah untuk ditewaskan lagi-lagi bermain di laman sendiri.

“Tetapi kami akan cuba buat yang terbaik dan apa-apa sahaja boleh and berlaku dalam tempoh 90 minit perlawanan.

“Kami akan memberi lebih tumpuan kepada beberapa pemain mereka seperti Forestieri sebab kita tahu dia memang seorang pemain yang mempunyai larian pantas dan ada teknik yang cikup baik.

“Tetapi kalau kami lebih berdisiplin malam esk, tidak mustahil kita akan dapat mengawasi dengan lebih baik pemain-pemain mereka malam esok”, katanya.

Sementara itu, empat perlawanan pusingan kedua Piala FA akan berlangsung malam ini di mana tiga lagi aksi adalah membabitkan Melaka United FC menentang PJ City FC dan Perak FC menerima kunjungan Penang FC serta Skuad Projek FAM-MSN bertemu Sr Pahang FC. – MalaysiaGazette