KUALA LUMPUR – Semua bakal jemaah haji, terutamanya bagi individu yang berumur 60 tahun dan ke atas dan individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk, untuk mengambil peluang
mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, langkah ini bagi memberikan perlindungan optimum daripada jangkitan Covid-19 yang teruk dan kematian seperti yang disyorkan oleh Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) berkenaan pemberian dos penggalak kedua.
Bagaimanapun, katanya, pengambilan vaksin dos penggalak kedua ini adalah secara sukarela.
Dalam pada itu, Khairy berkata, Kesihatan Malaysia (KKM) akan menghantar sejumlah 255 orang petugas perubatan merangkumi 128 petugas yang telah berpengalaman dan 127 petugas baharu untuk pengoperasian ibadah haji tahun ini.
Kumpulan petugas perubatan ini terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan seperti perubatan, farmasi, jururawat, pembantu perawatan kesihatan dan penjagaan spiritual bagi membantu Tabung Haji (TH) melancarkan perjalanan ibadah tersebut.
Seperti tahun-tahun terdahulu, petugas perubatan KKM akan membantu mengendalikan kes-kes berkaitan perubatan yang dihadapi oleh jemaah haji selain turut mengoperasikan fasiliti kesihatan sepanjang berada di Tanah Suci.
Menurutnya susulan daripada risiko penularan Covid-19, KKM juga pada tahun ini turut membekalkan sebanyak sekurang-kurangnya 3,000 patient course ubat antiviral Paxlovid sebagai persediaan merawat jemaah haji yang dijangkiti semasa berada di tanah suci.
Ubat antiviral ini akan diberikan kepada jemaah haji positif Covid-19 yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.
Petugas perubatan KKM akan menilai kesesuaian pesakit sebelum boleh dimulakan dengan rawatan ubat Paxlovid.
Selain rawatan ubat Paxlovid, langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi akan dipertingkatkan bagi mengawal penularan Covid-19 dan penyakit berjangkit yang lain, katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kerajaan telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM5 juta yang merangkumi perolehan ubat-ubatan dan alat perubatan serta tambang penerbangan dan elaun petugas perubatan bagi membiayai perbelanjaan perkhidmatan kesihatan jemaah haji Malaysia. – MalaysiaGazette