BEBERAPA hari yang lepas, dunia dikejutkan dengan pembunuhan seorang wartawan kanan Al Jazeera Arabic, Shireen Abu Aqleh, 51 tahun. Beliau mati ditembak sniper Zionis ketika membuat liputan tentang pencerobohan Zionis di Jenin, Tebing Barat, Palestin.
Shireen ditembak di kepala. Beliau dipercayai dibunuh secara sengaja oleh tentera Zionis. Mustahil seorang wartawan yang berpakaian lengkap, dengan jaket dan topi keledar media, telah disalah sasar oleh sniper Zionis. Pandangan popular mengatakan beliau dibunuh kerana sumbangan besar beliau mendedahkan jenayah dan kekejaman Zionis di Palestin selama ini.
Shireen adalah nama besar dalam media Palestin. Beliau telah menjadi muka hadapan berita-berita dari Palestin untuk Al Jazeera Arabic sejak tahun 1997 lagi. Hampir semua isi rumah di Palestin mengenali wajahnya dan pernah mendengar suaranya. Sebab itulah, sungguhpun Shireen adalah seorang penganut Kristian, seluruh umat Islam di Palestin turut menangisi pemergiannya.
Rejim Zionis menafikan Shireen terbunuh akibat tembakan snipernya. Mereka mendakwa Shireen terbunuh akibat tembakan rambang yang dilepaskan oleh kumpulan bersenjata dari kalangan rakyat Palestin sendiri. Mereka juga mendakwa terdapat satu video yang boleh mengesahkan dakwaan ini.
Sebuah NGO hak asasi manusia, B’tselem, telah membuat siasatan segera ke atas dakwaan ini. Wakil mereka telah pergi ke lokasi didakwa tembakan rambang tersebut dilepaskan dan lokasi tempat Shireen dibunuh. Ternyata dakwaan rejim Zionis tersebut sangat tidak masuk akal. Jarak antara kedua-dua lokasi tersebut sangat jauh. Kedua-dua lokasi juga terpisah dengan pelbagai struktur. Mustahil peluru tersebut boleh membuat lencongan zig-zag sebelum singgah di kepala Shireen.
Rakaman video selepas Shireen rebah juga menunjukkan terdapat tembakan susulan ketika seorang lagi wartawan wanita dan seorang pemuda Palestin cuba menyemak keadaan beliau. Ini sangat tidak konsisten dengan dakwaan tembakan rambang oleh rejim Zionis.
Pun begitu, pihak rejim tetap mempertahankan dakwaan mereka. Ketua Tentera Israel, Aviv Kochavi bahkan mendakwa pegawainya telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan tepat dan penuh professional. Sembang!
Ini bukan kali pertama warga media menjadi sasaran keganasan Zionis; dan pastinya bukan kali yang terakhir. Dalam serangan ke atas Gaza pada Mei tahun lepas, tentera Zionis telah membedil Menara al-Jalaa yang menempatkan pejabat media antarabangsa. 170 orang warga media dilaporkan cedera sepanjang 10 hari serangan tersebut.
Menurut NGO Reporters Without Borders, sepanjang perhimpunan The Great Return March pada tahun 2018, 144 orang warga media telah menjadi sasaran peluru hidup, peluru getah, gas pemedih mata dan bom tangan terpegun (stun grenade). Persatuan Wartawan Palestin pula menganggarkan sekurang-kurangnya 50 orang wartawan Palestin telah terbunuh sejak tahun 2000 ketika tercetusnya Intifada Kedua.
Respon balas antarabangsa setakat ini sangat mengecewakan. Duta Amerika Syarikat dan United Kingdom ke Israel sekadar menyatakan kekesalan mereka atas apa yang berlaku dan ‘mengesyorkan’ supaya satu siasatan dilakukan. Ini jawapan klise yang sudah biasa dan sudah muak kita dengar. Kita akan mendengar jawapan yang jauh berbeza sekiranya yang menjadi mangsa adalah wartawan dari negara selain Palestin.
Ada beberapa negara yang mengecam pembunuhan ini. Namun, seperti biasa, ia sekadar kecaman tanpa apa-apa tindakan konstruktif untuk menghentikan kekejaman rejim Zionis. Tiada tekad politik untuk mengubah realiti penindasan di Palestin. Sekadar bermain-main dengan slogan dan retorik proses damai yang tidak berpenghujung.
Ketika para pemimpin terus menerus mengecewakan kita, menjadi tanggungjawab rakyat dunia untuk mewujudkan tekanan agar perubahan dapat dilakukan. Solidariti perlu ditingkatkan. Propaganda Zionis perlu terus diperangi. Bantuan baik dari sudut kemanusiaan dan perundangan perlu disalurkan. Boikot Israel atau BDS perlu diperkasakan.
Bahkan jika kita mampu, ayuh sama-sama kita usaha untuk lahirkan lebih ramai wartawan yang berani seperti Shireen Abu Aqleh. Jika seorang Shireen gugur, kita lahirkan 10 atau 100 bahkan 1,000 Shireen yang berikutnya.
Untuk apa? Supaya pekung dan hipokrasi Zionis dapat kita dedahkan. Supaya tiada lagi pihak yang bersedia untuk menjadi sekutu rapat mahupun berurusan dengan mereka. Dan supaya sekutu-sekutu yang ada mula meninggalkan mereka kerana malu dikaitkan dengan jenayah Zionis. Zionis mampu bertahan sehingga hari ini kerana sokongan kuasa-kuasa besar. Bila kuasa-kuasa ini mula meninggalkan mereka, tibalah sangat pengakhiran mereka.
Apa pun, jangan kita sia-siakan pengorbanan Shireen tanpa kita berbuat apa-apa.
Khalid bin Jimat,
Palestine Centre of Excellence (PACE).
Pakai baju kalis peluru pun kepala terbuka menjadi sia-sia .