Home Rencana Implikasi pindaan perlembagaan UMNO jika diluluskan EGM esok

Implikasi pindaan perlembagaan UMNO jika diluluskan EGM esok

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua kanan) pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Esok, UMNO akan memahat sejarah lagi apabila  menyaksikan pindaan perlembagaan yang dijangka memberikan lebih ruang kepada pimpinan parti untuk meneruskan pentadbirannya jika mesyuarat pemilihan UMNO dalam tempoh enam bulan berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU).

Mesyuarat Agung Khas (EGM) UMNO dijangka meluluskan pindaan itu sebelum diterima oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Dari segi kronologinya, tempoh pemegang jawatan bagi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi penggal 2018/2021 sudah tamat pada 30 Jun 2021.

Setelah berlaku sedikit kesilapan teknikal, akhirnya ROS membenarkan penangguhan pemilihan UMNO untuk tempoh 18 bulan seperti mana yang diperuntukkan oleh perlembagaannya.

Pindaan perlembagaan ini boleh disifatkan sebagai salah satu strategi pengukuhan dalaman parti yang dirancang untuk memberikan keuntungan kepada parti untuk memfokuskan kepada agenda politik negara menjelang PRU15.

Namun begitu, cadangan pindaan perlembagaan yang dijangka diluluskan pada EGM ini mengundang beberapa implikasi dan cabaran, terutamanya dari segi tata urus dan pengurusan parti.

UMNO sekali lagi akan berhadapan dengan cabaran menguruskan hal-hal teknikal kepimpinan parti itu apabila pindaan perlembagaan ini akan membolehkan tempoh pemilihan parti ditangguhkan sekali lagi.

Hal ini sudah tentu akan memberikan suatu cabaran baharu kepada UMNO untuk meneruskan agenda penyatuan dan pengukuhan parti apabila keputusan seperti ini juga bakal tidak disenangi oleh beberapa pihak dalam UMNO itu sendiri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2022.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2022.

Bagi kumpulan ini, pindaan tersebut bukan sahaja mengundang risiko tadbir urus parti yang acap kali menangguhkan pemilihan parti, tetapi sudah pasti akan menjadi bualan parti-parti politik lain yang memerhatikan gerak geri UMNO dan mencari kelemahannya.

Pertama, adakah pindaan perlembagaan yang akan diputuskan ini sah diperakukan dan mengikut ketetapan yang dibuat oleh ROS?

Timbul pertanyaan sama ada pentadbir ‘caretaker’ UMNO (setelah dilanjutkan pada 30 Jun 2021) boleh membuat keputusan untuk meminda Perlembagaan UMNO atau sebaliknya.

Kedua, akan wujudkah kemungkinan pindaan perlembagaan yang dibuat oleh UMNO ini akan dibatalkan oleh ROS ? Dan sekiranya akan berlaku hal ini maka ia akan menyulitkan lagi proses tadbir urus parti.

Sekiranya UMNO berhadapan dengan masalah perakuan pindaan oleh ROS, imej dan reputasi tadbir urus sudah pasti akan menjadi pertikaian dan persoalan parti-parti lain yang menunggu peluang untuk mencari kelemahan pentadbiran UMNO.

Ini pastinya akan merugikan UMNO dan melambatkan proses penambahbaikan imej dan reputasi parti ini dalam kalangan umat Melayu dan masyarakat di negara ini.

Ketiga, pindaan perlembagaan UMNO ini akan mengundang implikasi negatif iaitu penyambungan had memegang jawatan dalam kalangan para pemimpin UMNO tidak menyuburkan semangat aspirasi demokrasi parti dan membantutkan penyuburan kelahiran bakat-bakat kepemimpinan muda yang bakal menerajui parti ini pada masa hadapan.

Sekiranya ia tidak dikawal dalam konteks limitasi tempoh pegangan jawatan dalam parti ini, sudah pasti imej dan reputasi UMNO untuk menjadi terus relevan dalam kalangan generasi baru akan terjejas.

Suatu hal yang membimbangkan kita ialah kemungkinan akan berlaku penyalahgunaan kuasa dalam tadbir urus parti sekiranya tempoh pegangan jawatan pentadbir parti tidak dihadkan.

Situasi yang berlaku ini bakal menguntungkan sesetengah pihak yang ingin mengekalkan jawatan mereka selama mungkin maka walaupun keputusan ini dibuat oleh Perhimpunan Agung UMNO keselarian perubahan ini dengan prinsip demokrasi boleh dipersoalkan.

Keempat, dalam konteks senario politik hari ini, apakah amalan pindaan perlembagaan sebegini akan dilaksanakan oleh parti-parti politik lain bagi mengelakkan perkara-perkara urus tadbir parti akan diambil tindakan oleh ROS?

Pindaan perlembagaan ini jika dijadikan ‘precedent case’ bagi membolehkan parti-parti politik lain mengikut jejak langkah UMNO pastinya akan melambatkan lagi proses demokrasi kelangsungan kepimpinan politik negara pada masa akan datang.

Bagaimana pula dengan ketelusan tadbir urus parti-parti politik sekiranya limitasi pegangan perjawatan dalam parti tidak dikawal dan diuruskan secara sistematik?

Para perwakilan menyanyikan lagu sambil mengibarkan bendera parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 18 MAC 2022.

Sehubungan dengan itu juga timbul persoalan adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan menggunakan kuasanya untuk mencampuri urusan ROS sekiranya keputusan EGM ini didapati tidak menepati kehendak semangat Akta Pertubuhan.

Saya yakin bahawa Ismail Sabri seperti yang telah beliau tegaskan berkali-kali menghormati prinsip pengasingan kuasa, sama ada antara tiga cabang kerajaan, iaitu eksekutif, legislative dan kehakiman, mahupun secara dalaman sesame badang eksekutif.

Sejak Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri jelas kepada semua bahawa beliau tidak seperti sesetengah mantan Perdana Menteri lain tidak mencampuri urusan kementerian lain di mana segala keputusan dibuat secara bersama dalam Mesyuarat Kabinet.

Di sebalik keghairahan untuk melestarikan dan menghalalkan proses perjalanan urus tadbir parti politik seperti UMNO, kita harus berpegang kepada prinsip ketelusan, membuka lebih banyak ruang kepada pimpinan politik baharu, menyantuni ahli-ahli parti serta memastikan bahawa kelestarian pimpinan muda dalam parti dapat dilaksanakan dengan cekap.

UMNO harus berhati-hati dan bertindak bijak dalam menentukan setiap gerak geri dan mencatur masa depan lebih kukuh supaya parti itu dapat terus relevan di persada politik nasional.

Kesedaran terhadap mengekalkan kelestarian pimpinan UMNO harus dihayati oleh setiap warga UMNO supaya tersubur kembali semangat perjuangan politik Melayu yang terbilang dan merealisasikan impian umat Melayu di negara ini. – MalaysiaGazette

Oleh Ts. Dr. Syed Agil Alsagoff adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).