KUALA LUMPUR – Seramai 2,586 orang perwakilan UMNO hadir pada Persidangan Agung UMNO PAU Khas yang di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin yang turut memberitahu, ia terdiri daripada seorang Pengerusi Tetap, (49) ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) , (2,511) pewakilan dari 190 Bahagian, (7) wakil Wanita UMNO, (10) wakil Pergerakan Pemuda UMNO dan (8) wakil Pergerakan Puteri UMNO.
Katanya, bilangan tersebut mencukupi korum dan ia lebih dari jumlah dua pertiga perwakilan menjadikan persidangan tersebut boleh dijalankan.
“Oleh yang demikian, persidangan boleh dijalankan,” katanya ketika mempemgerusikan Persidangan Agung Khas UMNO di sini hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, PAU Khas yang diadakan hari ini adalah mengikut Fasal 8.5 dan Fasal 30 Perlembagaan UMNO.
Katanya, beliau telah memberi notis 30 hari selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 14 April yang lepas serta menulis surat kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengenai perhimpunan yang diadakan hari ini.
“Semoga urusan kita ini dirahmati dan diberkati Allah S.W.T jua,” katanya.- MalaysiaGazette