KOTA TINGGI – Tidak gemar makan gaji, seorang graduan diploma kejuruteraan komputer di Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi di sini sanggup berdepan risiko dan sanggup meninggalkan pekerjaan selesa dengan memilih untuk menjadi penternak kambing.
Muhammad Firdaus Marju, 38, berkata keputusan menjalankan perusahaan yang telah diusahakan sejak 10 tahun itu dilakukan kerana ingin menjaga kedua orang tuanya.
Katanya dengan menggunakan wang simpanan yang ada, dia mula menternak beberapa ekor kambing dan membina kandang di tanah rizab milik Felda yang menelan belanja lebih RM30,000.
“Sekarang saya ada lebih 100 ekor kambing. Kambing ini banyak dijual untuk mereka yang mahu buat majlis akikah.
“Jika hendak diikutkan harga kambing sekarang semakin mahal seekor bermula RM900 ke atas. Ini kerana faktor harga dedak yang naik lebih-lebih lagi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Alhamdulillah saya suka buat kerja ini. Selain berada dekat dengan keluarga dapat jaga orang tua, ini juga merupakan minat saya kerana sejak kecil saya sudah terbiasa dengan kambing kerana arwah datuk juga penternak kambing,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Muhammad Firdaus yang juga Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Lok Heng Barat berkata kerjayanya sekarang amat memudahkan pergerakannya sebagai ketua untuk mengikuti aktiviti dan program belia.
Dia yang memang tidak gemar bekerja di bawah orang juga pernah menceburi bidang pertanian sebelum memberi fokus sepenuhnya pada ternakan kambing.
“Jika sebelum ini menternak kambing ini saya hanya buat sebagai part time sahaja namun mulai tumpu sepenuhnya sejak PKP. Bahkan sejak PKP kita lihat minat belia untuk ternak kambing juga semakin tinggi. Ada yang hilang kerja kemudian ternak kambing sebagai pendapatan baharu.
“Saya juga ada seorang rakan yang membantu jika saya perlu menghadiri program atau aktiviti sebagai pengerusi belia.
“Menternak kambing tidak sama dengan ternak lembu. Kambing perlukan sepenuh masa penjagaan dari segi pemakanan, kesihatannya perlu sentiasa dipantau. Kena bercakap dengan mereka hari-hari,”katanya.
Katanya pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang menternak kambing adalah apabila kira-kira 20 ekor kambingnya mati akibat termakan racun tikus.
Baginya keadaan itu benar-benar membuatkan dia hilang semangat namun cepat bangkit kembali.
“Masa itu memang down sangat tapi rakan pesan itu antara cabaran bila menternak pasti berdepan dengan kematian kambing. Jadi saya cepat-cepat bangkit semula meneruskan ternakan ketika itu berbaki kira-kira 40 ekor.
“Saya bercita-cita untuk membesarkan empayar ternakan kambing ini ke arah lebih jauh. Saya juga berharap dapat menceburi bidang trading pula selepas ini melibatkan kambing,”katanya lagi. – MalaysiaGazette