Home Politik PAU Khas lulus usul pindaan Perlembagaan UMNO

PAU Khas lulus usul pindaan Perlembagaan UMNO

Sebahagian perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 15 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas yang didakan hari ini meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.

Ia diluluskan sebulat suara oleh 2,586 perwakilan UMNO dari 192 bahagian yang hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menerusi kelulusan itu, MKT UMNO akan diberi dua pilihan di bawah fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.

Sebelum ini, draf pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO itu dibentangkan Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan UMNO.

Usul pindaan itu antara lain berbunyi – “Menggesa pindaan perlembagaan parti berhubung fasal pemilihan dilakukan dalam waktu yang sesuai dengan memaktubkan pemilihan parti hendaklah diadakan dalam tempoh enam bulan selepas setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) persekutuan dilaksanakan.

“Ini bagi memastikan seluruh kekuatan parti dapat digemblengkan bagi menghadapi PRU tanpa sebarang ancaman dan risiko perpecahan,” menurut usul pindaan yang dibacakan Mohamed Khaled pada PAU Khas berkenaan.

Turut hadir dalam PAU Khas itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli MKT, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta kepimpinan sayap UMNO.

Ketika memulakan PAU Khas, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan persidangan itu diadakan seiring ketetapan di bawah Fasal 8.5 dan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan sudah dipersetujui dalam mesyuarat MKT pada 14 April lalu.

Sejak 1990 sehingga kini, UMNO sudah melakukan sebanyak tiga kali pindaan perlembagaannya, berkait dengan soal pemilihan parti.

Cadangan pindaan perlembagaan UMNO bagi melanjutkan tempoh pemilihan parti itu, sebelum ini dibawa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2021, Mac lalu.

MKT menerima usul pindaan itu pada mesyuarat 18 Mac lalu untuk dibawa ke PAU 2021, seterusnya diluluskan perwakilan pada 19 Mac lalu. – MalaysiaGazette