NAM DINH – Selepas sah layak ke peringkat separuh akhir saingan bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31, Malaysia menyasarkan untuk beraksi di pusingan kalah mati yang dijadual berlangsung Khamis ini selaku juara Kumpulan B.
Itu adalah tuntutan Ketua Jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, Brad Maloney kepada anak buahnya menjelang aksi terakhir kumpulan bertemu Kemboja di Stadium Thien Truong di sini, esok.
Selepas bermain tiga perlawanan dengan mengumpul tujuh mata, kemenangan ke atas Kemboja akan menjamin kemaraan Malaysia ke pentas separuh akhir sebagai pendahulu, tatkala pencabar terdekat Thailand (enam mata) diramal mudah menewaskan Laos pada aksi terakhir.
“Kami mahu berada di tangga teratas kumpulan bagi melangkah ke separuh akhir,” katanya kepada Bernama selepas aksi Malaysia menentang Singapura yang berkesudahan 2-2 di Stadium Thien Truong, semalam.
Keputusan seri dicatat itu bukan saja menghentikan momentum kemenangan pasukan negara, malah menyekat hasrat Maloney untuk membimbing pasukan negara layak ke separuh akhir lebih awal dengan rekod kemenangan 100 peratus.
Namun, kejayaan Thailand membenam Kemboja 5-0 pada satu lagi aksi Kumpulan B semalam secara tidak langsung mengesahkan slot separuh akhir buat Malaysia.
Berdasarkan format pertandingan, aksi separuh akhir akan menemukan juara Kumpulan A dan naib juara Kumpulan B manakala juara Kumpulan B akan menentang naib juara Kumpulan A.
Di atas kertas, pasukan tuan rumah dijangka tidak berdepan masalah mengungguli saingan Kumpulan A sementara Indonesia dan Myanmar akan membuat perhitungan pada aksi terakhir untuk merebut slot naib juara.
Sementara itu, Maloney berkata, Vietnam, Myanmar dan Indonesia semuanya merupakan pasukan terbaik.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu memikirkan mengenai lawan pasukannya pada separuh akhir dengan tumpuan utama adalah pada perlawanan menentang Kemboja.
“Tiada rentak mudah dalam kejohanan ini dan setiap perlawanan adalah perlawanan yang sukar. Jadi kami hanya fokus pada perlawanan seterusnya menentang Kemboja dan kami menilai semula perkara itu selepas itu,” katanya. – Bernama