Home Nasional Banjir kilat: KASA selaras kerja pembaikan di Janda Baik – Mansor

Banjir kilat: KASA selaras kerja pembaikan di Janda Baik – Mansor

Datuk Mansor Othman.

NIBONG TEBAL – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang menyelaraskan kerja-kerja pembaikan di sekitar kawasan terjejas susulan banjir kilat di Janda Baik, Bentong, Pahang baru-baru ini.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, pihaknya juga ketika ini sedang mengenal pasti punca berlakunya banjir di kawasan tersebut dan akan mengambil tindakan pembaikan jangka pendek serta panjang bagi mengatasinya.

“Ketua Setiausaha (KSU) KASA, Datuk Seri Ir. Zaini Ujang telah turun ke padang (Janda Baik) mengetuai usaha meninjau kedudukan dan menyelaras kerja-kerja pembaikan serta penambahbaikan di sana, kami juga sedang kenal pasti punca berlakunya banjir serta akan mengambil tindakan segera.

“Ia sedang dilakukan oleh KSU kita bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang dan agensi-agensi penguatkuasaan lain di peringkat negeri, saya percaya tindakan pantas ini akan dapat tanggani isu tersebut dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Nibong Tebal di Dewan Serbaguna Jawi, di sini hari ini.

Majlis yang dikunjungi lebih 5,000 masyarakat sekitar situ, turut dihadiri Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Semalam media melaporkan Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kerajaan negeri bekerjasama dengan KASA bagi menyegerakan pelaksanaan kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai yang menjadi punca banjir kilat di sekitar Janda Baik, Bentong, baru-baru ini.

Baginda turut menitahkan agar disegerakan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di Bentong termasuk pembinaan Stesen Telemetri dan Stesen Amaran Banjir di huluan kawasan Janda Baik.

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, sebanyak 140 rumah melibatkan 450 mangsa di Janda Baik dikejutkan dengan kejadian kepala air yang memasuki rumah dan menghanyutkan harta-benda termasuk kereta yang dibawa arus ke dalam sungai.

Sementara itu, Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata KASA melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang memantau keadaan cuaca di seluruh negera dan akan mengeluarkan amaran serta nasihat secara berkala dalam menghadapi perubahan cuaca drastik ketika ini.

“Sekarang ini kita berada dalam monsun dan ada perubahan iklim sedikit, gelombang panas terutama di negeri utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang…saya ingin nasihatkan penduduk supaya berhati-hati hadapi perubahan iklim ini,” katanya. – Bernama