Home Politik Pindaan UMNO bukti hubungan harmoni presiden dan PM – Penganalisis

Pindaan UMNO bukti hubungan harmoni presiden dan PM – Penganalisis

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan kepimpinan UMNO yang lain melaukan 'Hidup UMNO' pada Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 15 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Pindaan Perlembagaan UMNO melibatkan aspek teknikal iaitu pemilihan parti yang boleh ditangguh sehingga tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilihat sebagai keputusan tepat parti itu.

Penganalisis Dasar Politik Ekonomi dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr. Md. Shukri Shuib berpendapat, dengan adanya pindaan itu, hubungan antara Perdana Menteri (PM) dan Presiden UMNO dapat diharmonikan dan segala keputusan dapat mencapai kata sepakat.

 

Dr. Md. Shukri Shuib

“Ini kerana pindaan ini seolah-olah seperti kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ia adalah satu perkara baharu dalam parti politik yang belum pernah dilakukan sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Md. Shukri berkata, pindaan melibatan Perkara 10.16 itu adalah asas kepada aspek teknikal Perlembagaan UMNO yang diharap dapat menstabilkan parti.

“Perkara 10.16 itu dijadikan asas perkiraan bahawa secara teorinya, dijangka ia akan jadi pengikat hubungan harmoni antara sesama pemimpin terutama dalam keadaan Presiden UMNO bukan lagi menjadi PM.

“Hubungan PM pula yang berkuasa membubarkan Parlimen mengikut masa yang ditentukan oleh beliau sendiri. Ini akan memerlukan kerjasama erat presiden parti dan PM yang merupakan Naib Presiden UMNO,” katanya lagi.

 

Para perwakilan menyanyikan lagu sambil mengibarkan bendera parti pada Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 15 MEI 2022.

Semalam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diberi dua pilihan di bawah fasal 10.16 perlembagaan parti itu sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas PRU selesai diadakan.

Rata-rata mereka merasakan keputusan yang dibuat oleh perwakilan akan memberi kebaikan kepada UMNO.

Sebelum ini, terdapat penganalisis politik berpendapat, UMNO akan berhadapan dengan isu sekiranya pindaan perlembagaan yang dibuat oleh UMNO akan dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Sekiranya itu berlaku, ia akan menyulitkan lagi proses tadbir urus parti.

Namun, RoS dilihat tidak mempunyai sebarang alasan atau sebab untuk menolak keputusan pindaan perlembagaan UMNO yang telah dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas semalam.

Seramai 2,586 perwakilan UMNO daripada 192 bahagian seluruh negara yang menghadiri PAU Khas sebulat suara meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO.

Usul yang diluluskan secara rasminya membolehkan MKT diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti. – MalaysiaGazette