Home Politik MN gagal, Pas-UMNO kena cari jalan lain – Khairuddin

MN gagal, Pas-UMNO kena cari jalan lain – Khairuddin

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali (dua kanan) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Darul Fuqaha, Bangi, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 16 MEI 2022.

BANGI – Sekiranya Muafakat Nasional (MN) gagal untuk menyepadukan dua parti politik antara Pas dan UMNO, kedua-dua parti itu digesa untuk mencari kaedah lain.

Menurut bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, kaedah itu perlu diusahakan kedua-dua parti bagi memastikan kesatuan ummah Melayu di negara ini disejahterakan kembali.

“Kalau MN (Muafakat Nasional) tak boleh (menyatukan Pas-UMNO) guna cara lain, yang penting kurangkan ketegangan antara ahli-ahli.

“Walaupun berbeza politik berbeza pendirian, berbeza pendekatan, ia tak wajar menjadi satu sebab untuk dicarikkan persahabatan persaudaraan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai Pas yang dilihat tidak mahu melupakan MN yang dibentuk bersama UMNO pada 2019 lalu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali bercakap kepada media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Darul Fuqaha, Bangi, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 16 MEI 2022.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata, sekiranya tiada kaedah dapat dicari sebelum Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) dan pertembungan sesama sendiri tidak dapat dielakkan maka ia akan memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).

“UMNO dan Pas boleh berunding, bukan secara dasar tetapi kerusi yang mana untungkan kedua-dua pihak. Kalau nak bagi UMNO, kena bagilah dekat UMNO, Pas jangan masuk, kalau nak bagi Pas, UMNO jangan masuk.

“Itu namanya rundingan kerusi kerana ada kerusi yang bertembung akan beri kelebihan pada PH,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Khairuddin menegaskan, ada pemimpin negeri di kedua-dua parti itu masih melihat bahawa MN masih relevan dan perlu dikekalkan di negeri masing-masing.

Selangor, katanya, masih melihat MN masih relevan dalam menyatupadukan umat khususnya masyarakat Melayu.

“Negeri-negeri berminat dengan MN seperti Selangor. Kita rasa wajar Pas dan UMNO kerjasama saya dapat maklumat ada dasar diberikan automatik untuk mereka berunding saya harap satu kenyataan, Pas dan UMNO duduk sekali di Selangor pastikan bukan milik PH,” katanya lagi.

Kharuddin sebelum ini berkata, bekas partinya itu akan terus berusaha mengembalikan MN serta tidak akan menjalin sebarang kerjasama politik dengan parti pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH).

Khairuddin berkata perkara itu disampaikan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada pertemuan mereka di Alor Setar, Kedah pada 11 Mei lalu. – MalaysiaGazette