KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) akan menjalinkan kerjasama strategik dengan universiti penyelidikan terkemuka dunia, Johns Hopkins University.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, kerjasama tersebut akan merangkumi penyediaan program latihan kemahiran khususnya dalam bidang teknologi tinggi dan terbaharu.
Ia bagi memastikan pekerja Malaysia bersedia untuk masa hadapan digital.
Kerjasama tersebut meliputi bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi 5G, keselamatan siber, teknologi blockchain dan beberapa program lagi.
Persetujuan tersebut dinyatakan ketika Saravanan melawat John Hopkins University semasa berada di Washington, Amerika Syarikat (AS).
“Saya difahamkan Johns Hopkins University adalah sebuah universiti penyelidikan pertama ditubuhkan di AS. Saya percaya HRD Corp boleh memanfaatkan kepakaran yang dimiliki oleh Johns Hopkins University dalam kursus-kursus berteknologi tinggi terutamanya bagi tujuan pembangunan kemahiran golongan profesional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, HRD Corp dan Johns Hopkins University juga akan turut bekerjasama untuk membangunkan program-program latihan jangka pendek untuk memperkuatkan kebolehpasaran tenaga kerja Malaysia.
Langkah tersebut akan menyokong usaha kerajaan dalam memastikan terdapatnya peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia.
Saravanan turut mengesyorkan HRD Corp untuk menggunakan peluang usahasama dengan John Hopkisn University untuk meluaskan penerimaan Inisiatif Microcredential HRD Corp di peringkat antarabangsa.
HRD Corp telah memperkenalkan rangka kerja microcredential baru-baru ini.
Menerusi Inisiatif Microcredential HRD Corp tersebut, lebih tiga juta tempat latihan kelayakan mikro ditawarkan dalam tempoh lima tahun.
Inisiatif berkenaan dibangunkan hasil kerjasama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi itu menawarkan peluang pendidikan secara atas talian khusus untuk rakyat di negara ini.
Semua kursus latihan yang didaftarkan di bawah HRD Corp akan ditukar menjadi kursus kelayakan mikro menjelang Jun 2022.-MalaysiaGazette.