Home Utama Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun Jambatan Pulau Pinang

Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun Jambatan Pulau Pinang

Anggota APMM melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa terjun Jambatan Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 4.0 arah Perai menghala pulau di sini hari ini.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 12.10 tengah hari sebelum menggerakkan bot PERKASA 1221 bagi mencari dan menyelamat.

Jelas beliau, mangsa berusia 28 tahun itu didapati meninggalkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih dalam keadaan enjin masih hidup di atas jambatan sebelum bertindak terjun.

Pihak polis dan bomba turut terlibat dalam operasi tersebut.

“Keadaan laut yang bergelora serta hujan menyukarkan pasukan CARILAMAT dalam melaksanakan pencarian.

“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Jeti Polis Marin Batu Uban dan sehingga kini usaha pencarian masih diteruskan,” katanya hari ini.

Orang awam diminta melaporkan sebarang penemuan dan kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04 262 6146. – MalaysiaGazette