KUALA LUMPUR – Festival Guru Malaysia (FGM) 2022 melabuhkan tirai pada hari ini selepas berlangsung selama lima hari sejak Khamis lalu dan penganjuran kali ini dilihat berjaya dan mencapai matlamat bagi meraikan warga pendidik.
Selepas dua tahun tidak dapat dianjurkan ekoran pandemik Covid-19, FGM kembali dianjurkan pada tahun ini di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, Kelantan selari dengan pemilihan Kelantan sebagai tuan rumah sambutan Hari Guru.
Sepanjang lima hari FGM 2022 berlangsung, lebih 40,000 pengunjung yang terdiri daripada warga pendidik, murid dan pelajar serta masyarakat setempat hadir memeriahkan penganjuran festival yang diisi dengan pelbagai aktiviti.
Semestinya pada tahun hadapan, ramai yang mengharapkan penganjuran festival yang serupa atau lebih baik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama rakan strategiknya Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).
Difahamkan, pada tahun hadapan, giliran Terengganu akan menjadi tuan rumah kepada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan dan pastinya FGM juga akan dianjurkan di lokasi yang sama untuk menghargai segala jasa dan pengorbanan guru.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Abdul Muie Ngah, beliau telah membawa 50 orang kontinjen Terengganu untuk melihat penganjuran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Kelantan sebagai persediaan sambutan tahun hadapan.
Katanya, antara perkara penting untuk dikenal pasti ialah lokasi penganjuran di Terengganu nanti kerana aspek berkenaan penting untuk memudahkan pergerakan di lokasi penganjuran dan juga penginapan bagi memudahkan semua pihak.
“Kita bawa kontinjen besar ke Kelantan pada tahun ini untuk melihat segala aspek penganjuran untuk persiapan kita tahun hadapan. Insya-Allah kita akan buat yang terbaik…Jika tidak sama, mungkin lebih baik untuk hargai warga pendidik.
“Kita akan lihat aspek penambahbaikan apa yang diperlukan untuk FGM dan juga Hari Guru. Apa yang penting kita akan lihat kesesuaian lokasi penganjuran, bagi kita fasiliti dan kemudahan penginapan penting untuk mengelak sebarang masalah,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kerjasama dan bantuan Yayasan Guru Malaysia (YGMB) amat diharapkan pada tahun hadapan bagi penganjuran FGM dan sambutan Hari Guru kerana yayasan berkenaan merupakan rakan strategik KPM.
“Memang kita tidak nafikan, YGMB banyak membantu KPM dalam aspek sambutan Hari Guru. Kita di peringkat negeri Terengganu juga sebelum ini telah menjalinkan kerjasama dengan YGMB dalam penganjuran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu pada tahun lalu,” katanya. – MalaysiaGazete