Home Rencana Nakbah pemangkin kesatuan ummah dan kebangkitan Palestin

Nakbah pemangkin kesatuan ummah dan kebangkitan Palestin

Gambar hiasan

SABAN tahun, tarikh 15 Mei diingati sebagai Nakbah (malapetaka) bagi umat Islam seluruh dunia, khususnya bagi penduduk negara Islam berdaulat Palestin. Tanah suci umat Islam ini dirampas oleh Zionis Israel sejak 74 tahun yang lalu, sekitar 7 dekad yang lalu iaitu pada tahun 1948. Istilah Nakbah mungkin agak asing bagi sebahagian umat Islam di Malaysia, kecuali bagi para pendokong agama yang benar-benar prihatin dan cakna dengan isu umat Islam antarabangsa, terutamanya di Palestin.

Peristiwa Nakbah merujuk kepada bencana atau malapetaka besar, yang secara khusus merujuk kepada penubuhan negara haram Israel yang diisytiharkan secara rasminya pada 15 Mei 1948. Ia merupakan rentetan daripada perancangan jahat Yahudi Zionis untuk melaksanakan kependudukan dan penjajahan terancang ke atas tanah dan penduduk asal negara Palestin yang berdaulat. Dengan bantuan daripada British dan PBB, negara Palestin berjaya dijajah secara sistematik dan akhirnya menjadi asas kepada penubuhan negara haram Israel yang angkuh dan tidak bertamadun.

Penjajahan secara terang-terangan dan mencabuli hak asasi rakyat negara Palestin tersebut dilihat dengan jelas oleh dunia antarabangsa, namun disebabkan lemahnya kesatuan di antara umat Islam, pencabulan dan pemerkosaan ini direstui secara terbuka tanpa sebarang bantahan. Lebih malang lagi apabila negara-negara Islam yang lainnya menjadi bacul dan tunduk dengan tekanan antarabangsa dan juga PBB. Maka wajarlah bagi rakyat Palestin dan umat Islam seluruhnya meratapi tarikh Nakbah ini sebagai titik hitam paling dalam bagi perpecahan umat Islam.

Paling menghairankan, apabila berlaku krisis Ukraine-Rusia, masyarakat dunia begitu sedih dan bersimpati dengan kezaliman dan kekejaman yang berlaku. Pelbagai saranan dan cadangan penyelesaian telah diutarakan bagi memastikan krisis ini tidak berlarutan. Ironinya, masyarakat dunia pada masa yang sama membutakan mata kepada krisis Palestin-Israel yang lebih lama telah membarah dalam konteks keamanan dunia. Ini bukti jelas bahawa masyarakat dunia telah dikuasai oleh rejim zionis dan pemberitaan terpilih menjadi amalan songsang mereka sejak sekian lama.

Negara Palestin yang dinaungi kedamaian dan kesejahteraan selama ribuan tahun itu semakin hari merasai penderitaan, keperitan dan kepedihan yang berpanjangan apabila berada di bawah kongkongan dan jajahan Yahudi Zionis. Negara yang dahulunya luas terbentang serta subur dan makmur bertukar menjadi padang jarak padang terkukur, manakala rakyatnya pula terpenjara di dalam tanahnya sendiri. Penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin ini tiada contoh lainnya di dunia ini, lantaran ia tidak pernah berlaku di bahagian lain dunia ini dengan penyaksian pencabulan terang-terangan oleh masyarakat dunia, tetapi tiada tindakan pembelaan diterima, hatta dari negara Islam yang lainnya. Alangkah malangnya kamu wahai Palestin!

Peringatan peristiwa Nakbah tahun ini jatuh dalam bulan Syawal di mana semua umat Islam seluruh dunia meraikan kemenangan setelah sebulan berada di dalam madrasah Ramadhan. Meraikan aidilfitri dengan meriah tiada salahnya bahkan ia dituntut di dalam agama. Namun, dalam kemeriahan tersebut, tidak wajar untuk kita melupakan nasib saudara kita di Palestin yang saban hari ditindas tanpa belas kasihan walaupun di dalam bulan kebesaran Islam.

Pastinya dalam kemeriahan Syawal ini, ia mampu menjadi titik tolak kepada perubahan menyeluruh umat Islam dalam membela nasib umat Islam yang tertindas, khususnya di Palestin. Ramadhan yang baru sahaja berlalu mengajar kita merasai kesengsaraan dan penderitaan umat Islam yang lain. Sewajarnya atas semangat keprihatinan ini, umat Islam seluruh dunia perlu segera bertindak mempertahankan kesucian tanah suci umat Islam di Palestin.

Antara tindakan menyeluruh yang boleh dilaksanakan melalui kesatuan umat Islam ialah dengan memboikot semua produk berasaskan Yahudi Zionis dan sekutunya. Ummah juga perlu memperjuangkan hak asasi manusia rakyat Palestin di media sosial dengan mendedahkan kekejaman dan penindasan Yahudi Zionis. Selain itu, umat Islam juga perlu menggerakkan kempen yang holistik untuk menyedarkan masyarakat dunia tentang isu Palestin, serta keperluan pembelaan dan bantuan kemanusiaan yang semakin meruncing di Palestin, khususnya di bumi Gaza.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang dalam kalangan kamu sehingga ia mencintai saudaranya melebihi cintanya pada dirinya” (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim). Maka atas dasar kasih dan cinta kita kepada saudara-saudara kita di Palestin, umat Islam seharusnya menginsafi segala yang telah berlaku, seterusnya memperkuatkan jati diri umat Islam, dan seterusnya segera bertindak menyokong dan mendokong segala usaha yang dilakukan bagi membela umat Islam di Palestin.

Apalah nilai yang ada pada kesempurnaan ibadah puasa, solat malam dan bacaan al-Quran yang kita laksanakan pada Ramadhan yang lalu, jika pada masa yang sama kita membiarkan saudara seagama dan seakidah kita kebuluran tanpa makanan, mengharungi kematian yang silih berganti, serta bermandikan keringat dan darah dalam perjuangan menuntut janji Ilahi.

Bumi Palestin adalah tanah yang mulia bagi umat Islam kerana di situlah terletaknya Masjid al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam, tempat berlakunya Isra’ dan Mi’raj, tanah suci ketiga bagi umat Islam dan juga merupakan bumi para Anbiya’. Isu Palestin bukan sekadar isu bangsa Palestin atau Arab sahaja, bahkan ia merupakan merupakan isu keteguhan iman dan kesatuan hati seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Umat Islam seharusnya bersatu hati memperjuangkan isu Palestin yang merupakan tunjang utama kepada keamanan dunia masakini. Kesatuan umat Islam seluruh dunia akan mampu menggerakkan kesedaran bersama dan tuntutan kepada penyelesaian yang tuntas kepada kuasa besar dunia terhadap isu kemanusiaan ini.

Bulan syawal yang barakah ini mampu menjadi titik perubahan dan kesatuan ummah dalam membangkitkan kembali kekuatan umat Islam. Perselisihan dan perbezaan budaya, bangsa, bahasa dan geografi perlu diketepikan demi menjayakan misi utama dalam menyelesaikan masalah ini. Ketegasan daripada negara-negara Islam, khususnya Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) amat dituntut agar isu ini mampu diselesaikan dengan bijaksana melalui kesatuan di antara mereka. Keberanian dan keikhlasan daripada negara-negara Islam dalam membantu negara Palestin mampu menyelamatkan ribuan nyawa umat Islam, mengurangkan bebanan penderitaan mereka dan akhirnya mampu membela kembali tanah suci umat Islam yang tercinta.

Semoga kegembiraan dan kesyukuran meraikan bulan Syawal ini diterjemahkan oleh seluruh umat Islam dengan melonjakkan usaha penyatuan ummah dan seterusnya memangkin perjuangan pembebasan tanah suci umat Islam di Palestin.

Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor.